KUALA LUMPUR – Seramai 1,250 pelajar dari 10 Institut Pengajian Tinggi (IPT) menerima manfaat dana wakalah berjumlah RM200 seorang daripada Pusat Pungutan Zakat (PPZ) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Moktar berkata, para pelajar ini adalah salah satu golongan yang berhak menerima zakat di bawah kategori asnaf fakir miskin atau fisabilillah.
“Saya percaya, ada dalam kalangan pelajar ini yang masih terpaksa mengikat perut dan berlapar akibat kekangan kewangan. Keadaan ini bukan sahaja mampu menjejaskan kesihatan mereka, malah boleh memberi kesan kepada tumpuan dan prestasi akademik.
“Justeru, bantuan tambahan ini diharapkan agar dapat sedikit-sebanyak meringankan beban mereka meskipun mungkin untuk jangka masa pendek sahaja,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Kasih PPZ-MAIWP dan penyerahan sumbangan kepada pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Universiti Poly-Tech Mara (UPTM), Cheras, hari ini.
Hadir sama adalah Naib Canselor UPTM Cheras, Prof Madya Dr Sharifah Syahiran Sy Sheikh.
Tambah Mohd Na’im, program ini diwujudkan bagi meringankan beban pelajar-pelajar asnaf, sekaligus memberikan harapan kepada golongan ini untuk mengecapi hidup yang lebih baik.
“Saya percaya, program dan inisiatif seperti ini merupakan satu usaha yang amat baik dalam memastikan lebih ramai golongan asnaf dapat disantuni. la bukan sahaja berupaya mencerminkan keprihatinan pusat zakat terhadap kebajikan masyarakat, malah juga menguatkan lagi kepercayaan masyarakat terhadap institusi kutipan dan agihan zakat selepas ini.
“Saya ingin menyeru agar semua yang berada di sini termasuk para pelajar sekalian, untuk turut memainkan peranan dalam menyebarkan dakwah zakat, dengan menyampaikan kebaikan serta manfaat zakat kepada masyarakat sekeliling,” ujar beliau.
Jelas Mohd Na’im, melalui dana pemegang wakalah, PPZ-MAIWP menyampaikan sumbangan kewangan sebanyak RM200 kepada 1,250 pelajar IPT dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM250,000.
Pelajar-pelajar yang terpilih adalah daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan melibatkan 10 IPT di sekitar Wilayah Persekutuan melibatkan Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia Kuala Lumpur (UTMKL), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Kuala Lumpur (UNIKL).
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Antarabangsa (IPGKBA), Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPGKBM), Kolej Islam Antarabangsa (IIC), Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL).
Majlis Ziarah Kasih PPZ-MAIWP merupakan salah satu daripada lima segman iaitu Program Iftar Perdana di Dataran Merdeka, Program Kasih Medik MAIWP (Sumbangan Tambang Perjalanan kepada Pesakit Kronik), Program Kasih Komuniti (Sumbangan Barang Basah) dan Program Kasih Intelek MAIWP (Sumbangan kepada Pelajar Sekolah Menengah) pada tahun ini. – MalaysiaGazette