P.Ramasamy

KUALA LUMPUR – Semua pihak tidak wajar membuat kesimpulan terlalu cepat atau menuduh kesilapan akhbar Sin Chew Daily menerbitkan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit sebagai tindakan sengaja untuk menghina negara.

Presiden Interim Parti Bersatu untuk Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P. Ramasamy berkata, walaupun kesilapan itu harus disiasat dari sudut undang-undang, namun ia juga perlu ditangani dengan rasional dan seimbang.

Apatah lagi, ujarnya, adalah sukar untuk mempercayai akhbar arus perdana berbahasa Cina yang telah lama bertapak dalam sejarah negara sengaja mahu mengabaikan lambang penting negara.

Malah, tambah beliau, pihak pengurusan akhbar terlibat juga telah menarik balik imej berkenaan dan mengambil langkah memohon maaf secara terbuka.

“Malangnya, terdapat suara-suara politik yang kini menuntut tindakan yang sangat keras, termasuk siasatan dalaman dan cadangan menutup operasi akhbar-akhbar tersebut.

“Reaksi sedemikian adalah terlalu keterlaluan dan tidak wajar,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Ramasamy yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, dalam dunia yang dipacu oleh teknologi serta dalam suasana yang begitu pantas, kesilapan manusia walaupun dikesali boleh berlaku.

Namun, apa yang mustahak, adalah bagaimana kesilapan itu ditangani dan dalam kes Jalur Gemilang tersebut, akhbar berkenaan telah mengakui kesilapan dan permohonan maaf telah dibuat selain tindakan pembetulan juga sudah diambil, ujarnya.

“Sekiranya kesilapan itu benar-benar tidak disengajakan, maka wajarlah kita menerima permohonan maaf tersebut dengan hati terbuka.

“Tiada manfaatnya kita menyokong tindakan melampau yang boleh mengancam kebebasan media atau mengganggu kestabilan landskap kewartawanan negara.

“Biarlah kewarasan dan kebijaksanaan kita mengatasi emosi,” katanya.

Akhbar Sin Chew Daily mencetuskan kontroversi selepas tersilap menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada akhbarnya Selasa lalu, sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Kuala Lumpur.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata, polis turut memulakan siasatan selepas menerima tiga laporan berhubung perkara tersebut.

Malah, kesilapan itu turut mendapat teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah, bendera adalah lambang kedaulatan negara yang tidak boleh dipersendakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here