KUALA LUMPUR – Veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saraswathy Kandasami mengumumkan hasrat untuk bertanding jawatan Ketua Cabang Bukit Bintang pada pemilihan PKR, Sabtu ini.
Saraswathy yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara menzahirkan rasa tanggungjawabnya untuk terus memimpin dan memperkukuhkan Cabang Bukit Bintang selepas lebih dua dekad bergiat aktif dalam memperjuangkan keadilan sosial dan hak rakyat.
“Selama 26 tahun saya telah berkhidmat dan berjuang bersama yang lain di Bukit Bintang. Pengalaman ini membentuk saya sebagai pemimpin yang memahami denyut nadi rakyat.
“Dengan sokongan semua, saya yakin dapat memacu cabang ini sebagai contoh kepimpinan yang inklusif, progresif dan berintegriti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberi jaminan bahawa kempennya akan dijalankan dengan berhemah, mengikut nilai demokrasi dalaman dan adab parti yang telah digariskan oleh kepimpinan tertinggi Keadilan selama ini.
Naib Presiden PKR itu turut memperkenalkan kempen #TeamSaraswathy sebagai platform untuk mempererat kerjasama dan menyatukan tenaga ahli demi masa depan cabang yang lebih mantap.
Difahamkan, Saraswathy akan berdepan empat lagi pencabar lain bagi jawatan Ketua Cabang Bukit Bintang. – MalaysiaGazette