KUANTAN – Polis menjumpai dadah jenis syabu seberat 468.3 kilogram (kg) dalam sebuah kenderaan Mitsubishi Triton yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 211 di Lebuhraya Pantai Timur (LPT), di sini Selasa lalu.
Dadah bernilai hampir RM15 juta itu ditemui di bonet yang tidak berkunci dalam kenderaan Mitsubishi Triton tanpa pemandu atau penumpang.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya berkata, maklumat awam mengatakan terdapat kenderaan berwarna putih memandu secara melawan arus dari arah Kuala lumpur ke arah Kuantan.
Menurutnya, ketika kejadian, pasukan peronda Lebuhraya Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman sedang menjalankan operasi bersepadu dalaman (Op Utama) Zon Timur di kawasan R&R Gambang arah barat (arah Kuala Lumpur) dari pukul 10 pagi hingga 1 petang.
”Semasa pemeriksaan kesalahan trafik dilaksanakan, pasukan peronda menerima maklumat awam berkaitan kenderaan tersebut. Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan peronda terus membuat pemantauan di lebuhraya LPT.
”Bagi tujuan keselamatan, peronda JSPT telah membuat lencongan jalan menyebabkan pengguna lebuh raya dari arah Kuantan ke Kuala Lumpur harus menyusur masuk ke R&R Gambang arah barat untuk tujuan pemeriksaan sebelum meneruskan perjalanan ke arah Kuala Lumpur.
”Sampai di KM211 arah ke Kuantan, dijumpai sebuah kenderaan Mitsubishi Triton bewarna putih yang diletakan di bahu jalan arah ke Kuala Lumpur,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.
Jelasnya, keempat-empat pintu kenderaan berada dalam keadaan tertutup dan berkunci dan pemeriksaan pada bahagian belakang mendapati bonet bahagian belakang berpenutup namun tidak berkunci.
Hasil pemeriksaan pada bonet belakang menjumpai tujuh plastik bewarna hitam dengan setiap plastik hitam tersebut mengandungi 20 bungkusan berisi ketulan kristal jernih dipercayai dadah jenis syabu.
Pegawai peronda kemudian memecahkan cermin hadapan sebelah penumpang bagi membuka kesemua pintu
Jelasnya, jumlah keseluruhan rampasan terdiri daripada 22 plastik bewarna hitam yang mengandungi 440 bungkusan bertulisan ‘Chinese Pin Wei’ yang berisi ketulan kristal jernih dipercayai dadah jenis syabu.
”Anggaran berat keseluruhan dadah yang dijumpai adalah berjumlah 468.3 kg dengan nilai rampasan dadah berjumlah RM14,985,600.
”Rampasan dadah jenis syabu itu boleh dibekalkan kepada 936,600 orang penagih dadah dalam masa sehari dengan mengambil kira analisa penggunaan harian sebanyak 0.5 gram setiap penagih.
”Unit Foresik PDRM IPK Pahang telah membuat ‘swabbing’ bagi menimbulkan sebarang kesan untuk tujuan siasatan lanjut dan usaha mengesan pemilik kenderaan juga sedang dilakukan,” katanya.
Berikutan itu, saksi atau rakaman video dari mana-mana ‘dashcam’ kenderaan yang melihat kejadian bolehlah menyalurkan maklumat berkaitan kepada pegawai penyiasat kes ASP Shahril di talian : 09 -5652222 atau hubungi hotline 012-2087222. – MalaysiaGazette