Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Allayarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan negara mengatasi perasaan peribadi.

Beliau berkata, Tun Abdullah akan sentiasa dikenang atas kejayaan luar biasa Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 2004, yang mana gabungan parti politik itu memenangi 90 peratus kerusi di Dewan Rakyat.

“Pada PRU 2008, kita menyaksikan prestasi BN merosot apabila lima negeri jatuh ke tangan pembangkang.

“Rakyat menggunakan hak kebebasan bersuara mereka untuk mendesak peletakan jawatan Perdana Menteri. Abdullah mendengar.

“Beliau akur terhadap suara rakyat dan tanpa rasa marah atau dendam, beliau pilih untuk berundur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Dr. Mahathir, keputusan itu bukan mudah untuk diambil, namun pada masa sama membuktikan keikhlasan Tun Abdullah yang sentiasa mendahulukan negara.

Tambahnya, beliau teringat kepada nasib Perdana Menteri Britain sewaktu Perang Dunia, Neville Chamberlain.

“Ahli Parlimen Birmingham, Leo Amery pernah memetik kata-kata Oliver Cromwell kepadanya ‘Kamu telah berada terlalu lama di sini tanpa menyumbang kebaikan. Berundurlah. Demi Tuhan, pergilah’. 

“Saya mohon maaf kerana terpaksa petik memetik sejarah British,” ujarnya.

Dr. Mahathir turut berkongsi bagaimana selepas desakan supaya Chamberlain berundur, seramai 42 Ahli Parlimen kerajaan sendiri mengundi menentangnya manakala 36 lagi berkecuali.

Jelasnya, terlalu banyak dalam pentadbiran di Malaysia turut dipengaruhi oleh sistem British.

“Saya sendiri telah meletak jawatan dua kali apabila merasakan saya tidak lagi dialu-alukan. Sebenarnya, ibu saya yang mengajar saya, jangan terlalu lama menumpang kasih,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here