PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menggagalkan cubaan menyeludup dadah jenis ganja dengan anggaran berat 36.091 kilogram (kg) di Pusat Mel dan Kurier, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pemangku Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Dr Ahmad Taufik Sulaiman berkata, rampasan dadah dalam bentuk bunga ganja yang bernilai RM3.58 juta itu dibuat pada 2 April lalu.
Dadah itu dipercayai untuk dieksport ke negara Eropah.
Katanya, rampasan dilakukan kira-kira jam 10.50 malam oleh pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah, Unit I (WPKL), selepas mesin pengimbas menunjukkan imej mencurigakan menyerupai bahan organik.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan tersebut menemui bahan organik kering yang disyaki ganja, disembunyikan dalam bungkusan kecil.
“Modus operandi yang digunakan adalah mengikrarkan bungkusan sebagai barangan tidak berkaitan seperti buku, pakaian serta alat permainan.
“Alamat yang diletakkan pada bungkusan berkenaan juga tidak lengkap, “ katanya sidang media di sini, hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Ahmad Taufik berkata, pihaknya percaya dadah tersebut bersumber dari kawasan sekitar Kuantan, Pulau Pinang serta Lembah Klang sebelum dihantar ke KLIA.
Punca bekalan itu masih dalam siasatan, ujar beliau. – MalaysiaGazette