KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 4.4 peratus pada suku tahun pertama 2025, mereda daripada 5.0 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Menurut Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kekal kukuh dalam situasi cabaran global yang berlarutan, disokong oleh asas ekonomi domestik yang berdaya tahan.

Sektor pembuatan merekodkan peningkatan output 4.8 peratus pada Februari, dipacu terutamanya oleh industri berorientasikan eksport.

Perayaan bermusim seperti sambutan Tahun Baharu Cina, persediaan Ramadan dan pembukaan semula tahun persekolahan telah membantu memastikan aktiviti ekonomi kekal positif.

Faktor-faktor ini menyumbang kepada prestasi jualan perdagangan edaran yang lebih kukuh, dengan peningkatan 5.1 peratus pada Februari berbanding 4.6 peratus pada bulan sebelumnya, disokong oleh prestasi kukuh dalam kedua-dua perdagangan borong dan runcit.

Tambahan lagi, pasaran buruh kekal memberangsangkan dengan peningkatan guna tenaga yang berterusan dan kadar pengangguran yang stabil pada 3.1 peratus.

Bagi sektor luaran, aktiviti perdagangan berterusan disokong oleh permintaan global yang lebih baik bagi barangan eksport utama.

Secara keseluruhan, komponen domestik dan luaran membantu mengurangkan kesan ekonomi dalam menghadapi cabaran global, seterusnya menyokong pertumbuhan bagi suku tahun ini.

Bagi prestasi mengikut sektor, perkhidmatan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi pada suku tahun pertama 2025, mencatatkan pertumbuhan 5.2 peratus (ST4 2024: 5.5%), diterajui oleh subsektor perdagangan borong & runcit, pengangkutan & penyimpanan dan maklumat & komunikasi.

Sektor pembuatan mencatatkan pertumbuhan 4.2 peratus (ST4 2024: 4.4%), disokong oleh pengeluaran yang kukuh dalam produk elektrik, eletronik dan optikal serta minyak dan lemak daripada sayuran & haiwan dan prosesan makanan.

Beliau menambah, sektor pembinaan merekodkan pertumbuhan dua digit bagi lima suku tahun berturut-turut dengan pertumbuhan 14.5 peratus (ST4 2024: 20.7%), disokong terutamanya oleh aktiviti pembinaan pertukangan khas dan bangunan kediaman.

Sektor pertanian mencatatkan peningkatan marginal 0.7 peratus (ST4 2024: -0.5%), didorong oleh subsektor perikanan.

Sementara itu, sektor perlombongan dan pengkuarian terus menyusut kepada negatif 4.9 peratus (ST4 2024: -0.9%), dipengaruhi oleh pengeluaran yang lebih rendah dalam semua subsektor. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast