Pegawai Lembaga Urus Air Selangor melakukan pensampelan di sekitar Sungai Telok Gong untuk meningkatkan kualiti air.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) giat melaksanakan langkah pemantauan sungai melalui River Monitoring Program (RMP) termasuk Sungai Telok Gong sejak April 2023.

Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, usaha itu untuk memastikan keadaan sungai-sungai negeri dalam keadaan baik dengan potensi peningkatan kualiti airnya.

“RMP ini adalah pendekatan secara mikro melibatkan pemantauan kualiti outfall yang memasuki sungai utama Selangor dan dilaksanakan secara berkala.

“Sehingga kini sebanyak empat kali pensampelan telah dilaksanakan di kawasan Sungai Telok Gong.

“Tindakan susulan terhadap penemuan serta hasil pensampelan tersebut telah diselaraskan dan sedang dilaksanakan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) mengikut skop dan bidang kuasa agensi,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pegawai Lembaga Urus Air Selangor melakukan pensampelan di sekitar Sungai Telok Gong untuk meningkatkan kualiti air.

Jamaliah berkata, LUAS telah memulakan inisiatif Pemuliharaan Kualiti Air di Telok Gong bermula Disember 2024 melibatkan beberapa kawasan.

Ia merangkumi Jalan Ikan Tampang (aliran ke Sungai Langat), Jalan Udang Galah (aliran ke Sungai Langat) dan Pos PGA Jeti Perajurit (aliran ke Selat Lumut).

“Hasil inisiatif itu, kualiti air di kawasan-kawasan terlibat menunjukkan peningkatan berbanding sebelumnya.

“Sehingga Mac 2025, status IKA bagi kawasan tersebut mencapai Kelas Ketiga iaitu Sederhana Tercemar dan masih boleh digunakan bagi tujuan pembekalan air mentah dengan adanya rawatan intensif,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri melalui LUAS telah mewarta dan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Pelesenan Pembuangan Air Kembalian dan Kemasukan atau Pelepasan Bahan Buangan dan Bahan Pencemar (Selangor) 2024.

“Ia juga dikenali sebagai Zero Discharge Policy (ZDP) yang memfokuskan kepada kawal selia kuantiti dan kualiti sumber air daripada punca persekitaran.

“Langkah pelaksanaan ZDP ini telah dimulakan di kawasan Telok Gong melalui jalinan kerjasama negeri melalui Luas bersama Persatuan Pekilang-Pekilang Telok Gong.

“Jalinan kerjasama ini juga melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri  Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri di satu sesi libat urus yang telah diadakan pada 5 Disember 2024,” katanya.

Selain itu, katanya, Taman Perindustrian Telok Gong merupakan kawasan perindustrian pertama di Selangor yang terlibat dalam pelaksanaan ZDP.

“LUAS juga giat turun padang memberi makluman kepada premis-premis industri di kawasan Telok Gong ini berkenaan pengawalan pelepasan daripada premis serta keperluan kepada lesen ZDP tersebut.

“Sehingga kini sekitar 92 lesen ZDP telah dikeluarkan kepada premis industri di kawasan Telok Gong,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan negeri menyasarkan pelaksanaan dan penguatkuasaan ZDP disusuli dengan inisiatif-inisiatif lain oleh LUAS serta agensi-agensi terlibat agar kualiti sumber air di kawasan Telok Gong dapat ditingkatkan ke tahap yang lebih baik.

“Dalam jangka masa panjang, komitmen tinggi semua pihak berkepentingan seperti pemilik premis, komersial dan industri diperlukan.

“Kerajaan Negeri Selangor, LUAS dan agensi-agensi berkuasa berkaitan tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap apa-apa aktiviti yang menimbulkan permasalahan dan mencemarkan sumber air selaras dengan Seksyen 79(4) Enakmen LUAS 1999,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here