Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berucap merasmikan Damar Berkat – PMS di Felda Bukit Damar, Lanchang, Pahang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Penggunaan lori elektrik dengan penjejak GPS antara inisiatif baharu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) selaras pelancaran pusat pengumpulan hasil sawit bersepadu Damar Berkat: Pusat Mengumpul Sawit (PMS).

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, sistem kebolehjejakan dan teknologi lebih bersepadu yang dibangunkan syarikat Sustainable Future Sdn Bhd dapat memastikan pengangkutan hasil hanya ke kilang dan pusat pengumpulan Felda.

“Felda mengambil inisiatif menggunakan sistem kebolehjejakan dan teknologi lebih bersepadu serta mampan bagi mengurangkan ketirisan. Harapan kami, langkah itu akan memberi pulangan secara terus kepada peneroka.

“Data hasil ini menjadi pangkalan maklumat penting untuk strategi pemasaran, subsidi dan logistik sekali gus memperkukuh daya saing Felda dalam sektor agrikomoditi negara.

“Sebelum ini, Koperasi Permodalan Felda (KPF) pernah mengalami kejatuhan dividen ekoran kelemahan dalam sistem agihan hasil.

“Dengan pembaharuan ini, Felda mensasarkan pemulihan semula kekuatan koperasi sebagai nadi pembangunan ekonomi komuniti peneroka,” katanya ketika merasmikan Damar Berkat – PMS di Felda Bukit Damar, Lanchang, Pahang baru-baru ini.

Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek merasmikan Damar Berkat – PMS di Felda Bukit Damar, Lanchang, Pahang, baru-baru ini.

Menurut Ahmad Shabery, ia sebagai titik mula kepada reformasi besar-besaran pengurusan hasil peneroka yang sebelum ini menjadi mangsa kepada rantaian sistem tidak telus didalangi peraih, sindiket penimbang dan agen luar.

“Sistem lama telah membuka ruang kepada ‘singa, buaya dan gajah’ yang menindas peneroka melalui manipulasi harga dan penipuan timbangan. Peneroka kerja siang malam, tetapi hasilnya orang lain kaut.

“FELDA tidak boleh lagi berdiam diri. Ketirisan yang berlaku bukan sahaja merugikan peneroka secara individu, malah FELDA secara keseluruhan dengan anggaran kerugian mencecah RM200 juta setahun akibat kehilangan hasil tidak direkod dan aktiviti luar sistem.

“Mereka (peraih) memanipulasi hasil sawit, ambil untung tanpa usaha, sawit ‘hilang’ di tengah jalan malah pembayaran tidak telus.

“Situasi ini telah melemahkan kedudukan koperasi dan menjejaskan ekosistem pembangunan luar bandar,” katanya.

Ahmad Shabery juga berkata, Damar Berkat bukan sekadar pusat pengumpulan fizikal tetapi simbol perjuangan mengembalikan maruah dan hak peneroka yang pernah terabai.

“Peneroka tidak lagi perlu menghantar buah sawit ke luar sistem dengan bayaran tidak telus dan dipotong secara tidak sah. Pusat pengumpulan ini turut akan menjadi pangkalan data hasil peneroka yang lebih sistematik, membantu Felda merancang strategi pasaran, logistik dan bantuan subsidi dengan lebih tepat dan bersasar.

“Ini selaras dengan transformasi Felda ke arah organisasi berdaya saing dan mampan dalam memulihkan semula kepercayaan peneroka terhadap institusi ini yang tercalar akibat kelemahan pengurusan dan pengaruh pihak luar.

Katanya lagi, peneroka kini bukan sahaja dapat menjual hasil pada harga lebih adil, malah menerima bayaran secara lebih cepat dan telus.

“Ini memberikan kelegaan besar kepada golongan yang selama ini terpaksa bergantung kepada bayaran tidak menentu daripada pembeli luar.

“Kekayaan bukan sekadar tentang menjadi kaya tetapi tentang berkongsi dengan orang lain sebagai ‘berkat’,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here