KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Ustaz Abu Syafiq membayar ganti rugi RM2.5 juta kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin kerana memfitnah beliau berhubung isu vaksin Covid-19.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan turut memerintahkan pendakwah bebas itu selaku defendan membayar kos berjumlah RM50,000.
Mahkamah berpuas hati, kenyataan Ustaz Abu Syafiq atau nama sebenarnya Mohd Rasyiq Mohd Alwi telah mencalar keperibadian dan reputasi Khairy (plaintif) yang ketika itu menteri Kabinet.

Beliau berpuas hati, kata-kata defendan telah memfitnah Khairy atau dikenali sebagai KJ dan berkecenderungan merendah-rendahkan reputasi beliau dalam kalangan masyarakat.
“Kenyataan ini cenderung memberikan kesan buruk secara langsung ke atas reputasinya dalam kerajaan dan mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan umum,” ujar hakim berkenaan.
“Mahkamah menerima keterangan plaintif yang dikemukakan melalui dokumen dan testimoni bahawa kenyataan defendan adalah palsu dan tidak berasas,” ujar beliau.
Sebelum mengumumkan keputusannya, Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Khairy atas pemergian bapa mentuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang juga Perdana Menteri kelima pada 14 April lalu.
Ketika membacakan alasan ringkasnya, beliau menerima keterangan plaintif bahawa keperluan dos ketiga bagi umat Islam dari Malaysia untuk menunaikan umrah, adalah benar dan tepat berdasarkan keperluan Arab Saudi untuk penerima vaksin Sinovac dan Sinopharm.
Ujar hakim berkenaan, plaintif tidak membincangkan keperluan jenama vaksin khusus untuk umrah atau Haji.
Kata beliau, pada sidang media pada 28 Disember 2021, plaintif menekankan hasrat Kementerian Kesihatan untuk bekerjasama dengan syarikat pelancongan yang menguruskan pakej umrah bagi memastikan rakyat Malaysia yang ingin menunaikan umrah mendapat dos penggalak.
“Tiada sekatan ke atas jenama atau keperluan vaksin oleh kerajaan Arab Saudi yang disebut oleh plaintif,” ujar beliau.
Hakim Raja Ahmad Mohzanuddin Shah turut berpuas hati plaintif telah diberi vaksin dua kali dan menerima dos penggalaknya, seperti yang disahkan oleh saksi ketika perbicaraan di mahkamah.
Selain itu, beliau bersetuju plaintif telah menawarkan diri untuk mengambil bahagian dalam kajian tidak formal bagi mengukur tahap antibodinya selepas menerima dos ketiga.
Ujar beliau, ini kerana, Khairy kali pertama diberi vaksin Sinovac pada 18 Mac 2021 dan kemudian diberi vaksin Pfizer (Comirnaty) pada 4 September 2021 sebagai dos ketiganya.
Mahkamah turut menyatakan, ketika itu, dua individu berprofil tinggi mengambil dos vaksin Pfizer sebagai rakyat Malaysia pertama dan kedua berbuat demikian, plaintif sengaja memilih untuk tidak mengambil vaksin ini sebagai dos pertamanya.
“Plaintif bagaimanapun menunggu dan kemudian mengambil vaksin CoronaVac (Sinovac) sebagai dos pertama dan kedua selepas merasakan persepsi orang ramai agak meragukan pada peringkat awal tempoh pelaksanaan vaksin.
“Tindakan itu untuk memastikan kepercayaan orang ramai terhadap vaksin lain selain Pfizer,” ujar hakim berkenaan.
Khairy memfailkan saman fitnah terhadap Mohd. Rasyiq pada 25 Januari 2022 dan mendakwa defendan memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2024 pada 6 dan 10 Januari 2022.
Plaintif mendakwa, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi. – MalaysiaGazette