JOHOR BAHRU – Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Negeri Johor (J-ARDC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan lima syarikat yang melabur dalam Lembah Makanan Bio Desaru di Kota Tinggi.
MoU berkenaan yang ditandatangani di Hotel Amari, di sini, membabitkan Syarikat YHL Aquatic Sdn Bhd, Syarikat Archisen Pte Ltd, Syarikat Bioalpha (Johor Herbal) Sdn Bhd, Syarikat Ecofirst Opal Sdn Bhd dan Syarikat KOREF Desaru Leisure Farm Sdn Bhd.
Lima syarikat berkenaan dipilih sebagai Pusat Kecemerlangan (CoE) di bawah J-ARDC dan MoU tersebut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip.
Beliau memberitahu, penglibatan lima syarikat berkenaan adalah bagi peringkat permulaan.
“MoU pada hari ini adalah satu simbolik kepada komitmen dan sinergi antara Johor Biotech bersama pihak-pihak berkepentingan dalam sektor pertanian negeri Johor dalam menyokong pembangunan J-ARDC.
“Syarikat ini dipilih berdasarkan pengalaman serta pencapaian mereka dalam penyelidikan serta pengaplikasian teknologi bagi mempertingkatkan hasil pengeluaran, ketahanan tanaman dan ternakan serta inovasi produk,” katanya.
Katanya, sebagai CoE, syarikat terbabit akan berperanan menjadi pusat rujukan bagi mana-mana pihak yang ingin mendapatkan khidmat nasihat serta maklumat berkaitan teknologi dan bidang penyelidikan pertanian.
Perancangan masa terdekat bagi J-ARDC ujarnya, adalah untuk memuktamadkan pelan Tindakan, menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras dan melaksana inisiatif kolaboratif bawah J-ARDC yang akan dikenali sebagai Johor Research Agriculture Alliance (JARA) serta membangunkan rangka Pusat Data dan Digital Pertanian Johor.
Zahari berkata, J-ARDC adalah satu inisiatif kerajaan negeri bagi menyelaras dan memperkukuh penyelidikan serta inovasi pertanian di Johor.
Jelasnya, ini termasuk mempertingkat sekuriti makanan dan memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan melalui kerjasama pelbagai pihak kepentingan serta penerapan teknologi pertanian yang maju dan tahan iklim.
Katanya, Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (Johor Biotech) telah diberikan mandat oleh kerajaan negeri bagi memacu pembangunan J-ARDC.
“Melalui kerjasama strategik bersama pihak Institut Sultan Iskandar (ISI) serta Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Pelan Tindakan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Negeri Johor akan dibangunkan bagi memastikan pembangunan J-ARDC dilaksanakan dengan komprehensif.
“Ini merangkumi kesemua aspek pembangunan mampan serta selaras dengan dasar dan hala tuju semasa sektor pertanian di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya.- MalaysiaGazette