KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Batu memberi amaran kepada pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) agar tidak mengaitkan parti Melayu itu dalam isu pengagihan duit raya selepas pemilihan dalaman, baru-baru ini.
Ketuanya, Mohd Zulfadli Amiruddin berkata, tidak wajar menjadikan UMNO sebagai sasaran dan perbandingan setiap kali muncul isu yang melibatkan ketelusan dan integriti dalam parti lain.
“Perkara ini adalah isu dalaman PKR yang tiada kaitan dengan UMNO. Janganlah mudah menjadikan parti kami sebagai bayangan silam untuk menutup kelemahan semasa.
“Rakyat hari ini menilai berdasarkan tindakan dan kejujuran, bukan alasan dan tudingan.
“UMNO tidak pernah mendidik ahlinya untuk terlibat dengan amalan politik yang mencemarkan proses pemilihan, baik di dalam mahupun luar parti,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan bekas setiausaha PKR cabang Batu, Yuslaini Azmi mengingatkan parti itu supaya tidak membawa budaya UMNO ke dalam parti itu.
Ia susulan video tular memaparkan Fatin Izzaty Muhammad didakwa memberi wang di tengah pemilihan parti itu.
Rabu lalu, Fatin dilaporkan berkata video tersebut dirakam semasa bulan Ramadan dan dia ketika itu memberi sumbangan wang kepada sejumlah anak muda yang sering dibantunya.
Menurut Fatin, penyebaran video itu sekarang jelas bertujuan untuk memburukkan dirinya.
Dalam pada itu, Zulfadli menegaskan, apa yang berlaku hari ini harus dinilai berdasarkan keanggotaan dan tanggungjawab semasa seseorang, bukan lagi bersandarkan kepada latar belakang politik masa lalu.
“Sewajarnya, kita berlaku adil dalam membuat penilaian tanpa terburu-buru menyalahkan mana-mana pihak yang tidak ada kena-mengena.
“Pengagihan ‘duit raya’ oleh individu tertentu yang kini aktif dalam PKR seharusnya dinilai berdasarkan kedudukannya sekarang, dan bukan masa silamnya.
“Individu berkenaan bukan lagi ahli UMNO. Beliau telah pun beralih arah dan kini memegang jawatan dalam organisasi politik lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette