Zahari melawat operasi eksport hasil pertanian di KSAB, Tanjung Kupang, Iskandar Puteri, malam tadi.

JOHOR BAHRU – Johor mencatatkan nilai eksport produk pertanian terbesar dalam negara bernilai RM23.96 billion bagi tempoh  2023 hingga 2024.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, pencapaian tersebut berdasarkan rekod Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor.

Jelasnya, jumlah tersebut melibatkan lebih 70 peratus dengan nilai RM23.96 billion atau 6.8 juta tan dalam tempoh dua tahun itu.

“Ini adalah berdasarkan rekod di lapan pintu masuk Johor dan berdasarkan pencapaian tersebut, pintu Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak RM10.3 billion atau 3.49 tan produk hasil pertanian.

“Antara faktor utama di atas pencapaian ini adalah kedudukan pintu keluar Johor yang strategik untuk aktiviti eksport agromakanan negara, terutamanya ke pasaran serantau seperti Singapura, Indonesia dan seterusnya ke China dan Timur Tengah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu beliau melawat operasi eksport hasil pertanian di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang, Iskandar Puteri yang dilaksanakan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Maqis.

Mengulas lanjut, Zahari berkata, pencapaian itu turut disokong dengan kemudahan pelabuhan bertaraf dunia dan status Johor sebagai pengeluar utama hasil pertanian terutamanya buah-buahan, sayur-sayuran dan produk ternakan.

Kelebihan dan potensi itu katanya, akan dimanfaatkan sepenuhnya kerajaan negeri bagi memperkasakan lagi sektor berkenaan menerusi pelbagai inisiatif berkaitan peningkatan produktiviti dan perluasan eksport hasil pertanian Johor.

Berkenan Maqis, beliau berkata, agensi itu berperanan dalam menjalankan kuarantin, pemeriksaan dan penguatkuasaan di pintu masuk, stesen dan premis kuarantin.

Ia termasuk pemerakuan bagi import dan eksport tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih dan mikrooganisma termasuk pemeriksaan dan penguatkuasaan makanan serta perkara yang berkaitan dengannya.

Antara kesalahan lazim yang sering dikesan ujarnya, termasuk barangan yang tidak diisytihar dan item yang tidak sepadan dengan butiran dalam borang pengisytiharan.

“Operasi ini dijalankan secara berterusan bagi memastikan hasil pertanian yang dieksport/import mematuhi tatacara serta peraturan yang telah ditetapkan.

“Ia penting bagi memastikan industri pertanian negara bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar terhadap tumbuhan, haiwan dan ikan melalui aktiviti kuarantin, pemeriksaan dan penguatkuasaan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here