MELAKA – Seorang jurutera didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, hari ini atas pertuduhan merakam video bogel bekas kakak iparnya menggunakan kamera pengintip berbentuk pen di dalam tandas rumah tahun lalu.
Tertuduh yang berusia 35 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nurul Asyikin Rosli.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa hendak mengaibkan kehormatan dan menggangu kesantunan seorang wanita berusia 40 tahun yang ketika kejadian adalah kakak iparnya dengan cara merakam video mangsa dalam keadaan bogel menggunakan pen kamera tersembunyi.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 2 petang di dalam bilik air di sebuah rumah bernombor di Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah pada pertengahan Jun 2024.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syaza Nur Sharif mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin.
Peguam Kent Tan Chow Teng bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya perlu menanggung dua anak yang masih kecil termasuk ibu dan bapa.
Selepas mendengar hujah kedua belah, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat dijamin sebanyak RM4,000 dan kes akan disebut semula 4 Jun ini.
MalaysiaGazette 14 April lalu melaporkan Polis Melaka sedang mengesan seorang lelaki selepas disyaki merakamkan video dan gambar isteri, dua kakak ipar dan anak saudara perempuannya di dalam tandas dan bilik tidur menggunakan kamera pengintip berbentuk pen.
Kejadian terbongkar selepas isterinya, berusia 27 tahun terjumpa kamera pengintip berkenaan di dalam beg suaminya itu, di rumah mereka di Lereh, Tanjung Kling di sini pada Jun tahun lalu.
Rakaman gambar dan video menunjukkan dua orang kakaknya berusia 38 dan 40 tahun serta anak saudara perempuanya berusia 14 tahun di dalam bilik mandi.
Selepas kejadian itu, wanita berkenaan telah meminta untuk berpisah sebelum pasangan itu yang mempunyai dua anak bercerai pada Januari lalu. – MalaysiaGazette
Rakam video isteri, kakak ipar dan anak saudara mandi guna pen kamera