Dr. Ainul Syahrilfazli Jaafar

KUALA LUMPUR – Sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mencipta satu penemuan penting yang membuka peluang baharu dalam
pengesanan awal kanser otak, khususnya jenis yang paling agresif dan berbahaya, iaitu glioblastoma.

Penyakit ini sering kali dikesan lewat kerana gejalanya yang pada awalnya tidak begitu ketara, dan hanya dapat dikenal pasti apabila tumor sudah berada pada tahap yang serius.

Namun begitu, kajian yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik UKM membuktikan terdapat potensi untuk mengesan penyakit ini lebih awal melalui satu ujian darah ringkas, sekali gus memberi peluang yang lebih besar untuk rawatan awal dan berkesan.

Kajian yang dijalankan bersama Institut Biologi Molekul Perubatan UKM (UMBI) dan Unit Neurosurgeri Fakulti Perubatan UKM ini memberi tumpuan kepada autoantibodi, iaitu sejenis protein yang dihasilkan oleh sistem imun badan apabila berlakunya gangguan atau kehadiran unsur luar seperti sel kanser.

Para penyelidik telah menemui beberapa jenis autoantibodi yang wujud dalam darah pesakit glioblastoma tetapi tidak ditemui dalam darah individu yang sihat.

Salah seorang penyelidik yang juga merupakan Pakar Perunding Neurosurgeri, Fakulti Perubatan dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Prof. Madya Datuk Dr. Ainul Syahrilfazli Jaafar berkata, penemuan tersebut berpotensi membawa perubahan besar dalam pendekatan pengesanan awal penyakit.

“Kita tidak lagi perlu menunggu pesakit mengalami gejala serius sebelum melakukan pengesanan. Dengan hanya ujian darah, kita mungkin dapat kesan perubahan awal dalam badan yang menunjukkan kehadiran kanser otak,” katanya.

Tambah beliau, jika kajian itu dapat dibuktikan dengan skala lebih besar, ia berpotensi menggantikan kaedah konvensional yang sering melibatkan imbasan pengimejan atau prosedur biopsi yang lebih invasif dan mahal.

Selain itu, Dr. Ainul Syahrilfazli turut menekankan bahawa pengetahuan dan kesedaran orang awam mengenai kanser otak masih rendah.

“Ramai yang menganggap gejala awal seperti sakit kepala, gangguan penglihatan atau perubahan tingkah laku sebagai perkara biasa. Tetapi hakikatnya, gejala-gejala ini boleh menjadi tanda awal sesuatu yang lebih serius.

“Pemeriksaan awal adalah kunci utama dalam mencegah komplikasi lebih teruk,” tegasnya.

Menurut beliau, rawatan untuk kanser otak berbeza-beza bergantung kepada jenis dan lokasi tumor.

Rawatan utama merangkumi pembedahan, kemoterapi, radioterapi dan terapi sasaran namun, keberkesanan rawatan sangat bergantung kepada pengesanan pada peringkat awal, iaitu peluang untuk kawalan lebih tinggi dan komplikasi lebih rendah, kata beliau.

Ujar beliau, kajian tersebut telah diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Immunotherapy, dan kina sedang diperluas dengan kerjasama lebih banyak institusi bagi mengesahkan keberkesanan pendekatan itu dalam kalangan pesakit yang lebih ramai.

Kajian iut juga turut mendapat sokongan dan pembiayaan daripada geran Kementerian Pengajian Tinggi menerusi inisiatif Pusat kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE).

Beliau berkata, penemuan itu sekali lagi mengukuhkan peranan UKM dalam menerajui penyelidikan perubatan berimpak tinggi di rantau ini.

“Kami (UKM) berharap kajian seperti ini dapat mempertingkatkan peluang rawatan yang lebih awal, selamat dan berkesan kepada pesakit kanser otak, bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di peringkat antarabangsa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here