Dr Mohd Aleef Yusof

MELAKA – Blok pembangkang Melaka menyifatkan penahanan reman bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selasa lalu menunjukkan kerajaan era pemerintahan Barisan Nasional (BN) pada 2021 hingga 2023 sebagai korup.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof berkata, jika benar berlaku dakwaan seperti dihadapi Mohamad Ali yang kini merupakan Timbalan Ketua Penerangan Bersatu, tindakan serupa juga perlu dikenakan terhadap pemimpin UMNO lain ketika itu.

“Waktu itu, Ketua Menteri adalah Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan Datuk Seri Ab Rauf Yusoh adalah Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, jadi SPRM juga mesti tahan dan siasat dua pemimpin ini bukan hanya Mohamad Ali.

“Apa yang berlaku ini (siasatan rasuah) dari 2021 hingga 2023 menunjukkan kerajaan negeri Melaka ketika itu korup sekiranya benar boleh berlakunya kes-kes rasuah seperti ini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini malam tadi.

Ab Rauf tiada kaitan dengan penahanan Mohamad Ali

Mengulas lanjut, Dr Mohd Aleef berkata, beliau akan berbincang dengan beberapa pihak sebelum membuat laporan terhadap SPRM supaya tidak hanya fokus terhadap Mohamad Ali sebaliknya juga mengheret Sulaiman, Ab Rauf dan pemimpin lain sekiranya terdapat bukti.

“Saya akan tunggu sehingga tempoh reman Mohamad Ali habis dan bertemu dengannya supaya siasatan isu dalam tambakan pasir melibatkan semua termasuk mereka yang berada dalam kerajaan,” tegasnya lagi.

Selasa lalu, media melaporkan Mohamad Ali ditahan SPRM bagi membantu siasatan menerima suapan berhubung kontrak kerja tambakan laut di Melaka berjumlah RM44 juta sejak lima tahun lalu.

Majistret Sharda Sheinha Mohamed Suleiman membenarkan perintah reman enam hari terhadap pengarah syarikat berusia 61 tahun itu sehingga 20 April ini.

Menurut sumber, Mohamad Ali didakwa menerima suapan dalam bentuk harta termasuk empat kenderaan mewah sebagai timbal balik projek tambakan laut bernilai RM44 juta di Kota Laksamana, Melaka sejak lima tahun lepas. – MalaysiaGazette

SPRM juga patut siasat Sulaiman, Ab Rauf

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here