PUTRAJAYA – Lebih 3,000 orang termasuk rakan-rakan strategik hadir ke Majlis Madani Muhibah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 1446H anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini, malam ini.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, majlis itu merupakan kesinambungan tradisi KPKT bagi memupuk semangat perpaduan dan kemajmukan budaya.

“Majlis Madani Muhibah Aidilfitri ini diadakan bertujuan untuk meraikan jalinan muhibah dan menyemarakkan semangat perpaduan.

“Bukan sahaja dalam kalangan warga KPKT malah seluruh kakitangan Kerajaan yg berkhidmat di Putrajaya terutamanya,” katanya pada pada majlis itu.

Pada majlis sama, Kor Ming turut menyantuni enam penerima Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan Program Baik Pulih Rumah di Bandar (PBPR) dan Program Bina Baharu Rumah di Bandar (PBBR) menerusi penyampaian Inisiatif Perumahan KPKT.

Selain daripada itu turut berlangsung Majlis Pelancaran e-RMR dan juga M-Niaga PRIMA.

“Sistem e-RMR merupakan sebuah platform permohonan RMR yang memudah dan mempercepatkan proses kerja.

“Sistem ini dinaik taraf daripada sistem terdahulu kepada versi laman sesawang yang mana kerja-kerja manual dipinda kepada proses automatik dan tanpa kertas.

“Oleh yang demikian, pelaksanaan kerja diselesaikan dengan lebih pantas, tepat dan efisien selaras dengan misi Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk menyediakan kediaman berkualiti kepada golongan B40 terlaksana,” katanya.

Sementara itu, Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) juga melancarkan unit komersial M-Niaga untuk memperkasa sosioekonomi komuniti tempatan.

“Inisiatif M-Niaga menyediakan sebanyak 256 unit komersial dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) berjumlah RM160.15 juta untuk menyokong perniagaan kecil dan sederhana dalam kawasan kediaman PR1MA. la berkeluasan di antara 689 – 5,803 kaki persegi, unit-unit ini menampilkan reka bentuk fleksibel dan susun atur praktikal, sesuai untuk pelbagai jenis perniagaan.

“Setiap unit M-Niaga bermula daripada RM289,800 dan terletak di Selangor, Perak, Melaka, Kedah, Kelantan, Johor, Sabah, dan Sarawak,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast