JOHOR BAHRU – Lebih 100 ahli MCA termasuk kepimpinan peringkat cawangan di Kluang secara rasmi keluar parti hari ini dan mendaftar sebagai Ahli Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ketua Bersekutu Bersatu Johor, Tan Lek Khang berkata, penyertaan beramai-ramai secara kolektif itu melibatkan tiga cawangan MCA di daerah Kluang.
“Perkembangan ini jelas mencerminkan hilangnya keyakinan ahli akar umbi terhadap kepimpinan MCA dan Barisan Nasional (BN) secara keseluruhannya.
“Mereka telah memilih untuk bersama Bersatu kerana yakin dengan perjuangan parti yang lebih inklusif, progresif dan berteraskan prinsip integriti serta pembelaan terhadap semua lapisan rakyat, tanpa mengira kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau yakin gelombang sokongan itu akan berterusan dan Ahli Bersekutu akan memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan Bersatu sebagai parti masa depan rakyat Malaysia.
“Kami mengalu-alukan penyertaan mereka dan akan memastikan suara mereka turut diberi perhatian dalam arus perjuangan politik negara,” ujarnya.- MalaysiaGazette