KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) digesa segera menyiasat dakwaan-dakwaan rasuah yang kini tular di media sosial melibatkan parti ini.
Calon Ketua AMK Cabang Batu, Iqbal Farok berkata, PKR tidak boleh membiarkan elemen-elemen negatif sebegini menjadi parasit yang akhirnya merosakkan integriti dan kredibiliti parti.
Beliau sependapat dengan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Akmal Saleh bahawa rasuah tidak seharusnya dikaitkan secara terus dengan mana-mana parti politik, syarikat atau agensi kerajaan.
Ia kerana, rasuah ialah penyakit yang boleh berlaku di mana-mana sahaja, dan ia wajib ditolak tanpa kompromi oleh semua pihak.
“Saya juga bersetuju dengan saranan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu, Mohd Zulfadli Amiruddin, agar nama saudari Fatin Izzaty tidak lagi dikaitkan dengan UMNO memandangkan beliau kini telah beralih arah.
“Tindakan menyandarkan isu ini kepada parti yang pernah disertainya sebelum ini adalah tidak wajar dan tidak produktif,” yang menyifatkan isu ini telah diperbesarkan di luar konteks sebenar.
Iqbal berpandangan konflik ini berpunca daripada fenomena “katak politik” yang mencetuskan ketidakstabilan dalam politik negara.
“Berdasarkan maklumat yang tular, Fatin Izzaty terlibat dalam dakwaan sogokan wang semasa pemilihan parti, dan latar belakang beliau telah disemak oleh akar umbi parti kerana penyertaan beliau yang baru dalam PKR selepas pelantikan YAB Perdana Menteri.
“Justeru itu, saya mencadangkan agar parti mempertimbangkan satu garis panduan jelas bahawa mana-mana calon yang ingin bertanding dalam pemilihan parti mestilah memiliki keanggotaan aktif sekurang-kurangnya lima tahun, sekiranya mereka pernah menganggotai parti lain sebelum ini.
“Bagi mereka yang tidak pernah menyertai mana-mana parti, maka penyertaan serta-merta dalam proses pemilihan adalah wajar dipertimbangkan,” ujarnya. – MalaysiaGazette