Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya

KUALA LUMPUR – Malaysia menghantar hospital medan lengkap ke Myanmar bagi menyediakan perkhidmatan perubatan penting kepada komuniti yang terjejas akibat gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu, baru-baru ini.

Kementerian Luar Negeri berkata, misi ini, yang diketuai oleh Kementerian Pertahanan dengan kerjasama rapat Kementerian Luar Negeri, bertujuan untuk memastikan mobilisasi yang pantas dan penyampaian bantuan kesihatan yang berkesan ke kawasan yang mengalami kekurangan perkhidmatan perubatan yang kritikal.

Hospital medan tersebut telah dihantar ke Myanmar menaiki dua pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang berlepas dari Pangkalan Udara Subang pada jam 4.30 pagi tadi.

Menurutnya, hospital medan ini dilengkapi dengan unit rawatan kecemasan dan kemudahan pembedahan, serta disokong oleh pasukan perubatan terlatih seramai 70 orang yang merangkumi doktor, jururawat dan kakitangan sokongan.

“Hospital medan ini akan ditempatkan di bandar Sagaing dan akan beroperasi selama 30 hari dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang selamat, adil dan berkesan, khususnya kepada kumpulan yang dipindahkan dan golongan rentan.

“Inisiatif ini menzahirkan komitmen teguh Malaysia terhadap nilai-nilai kemanusiaan dan kesejahteraan jiran-jirannya yang sedang dilanda kesusahan. Sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia berbangga untuk berdiri bersama rakyat Myanmar dalam saat yang mencabar ini, dengan menyalurkan bantuan yang
mampu menyelamatkan nyawa di kawasan yang paling memerlukannya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah kementerian, usaha ini merupakan sebahagian daripada strategi bantuan kemanusiaan Malaysia yang lebih luas serta mencerminkan komitmen bersama ASEAN terhadap keamanan, kestabilan dan kebajikan semua negara anggota. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here