Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kewangan di Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 18 APRIL 2025

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan  kedua-dua pihak dalam konflik Myanmar, Majlis Pentadbiran Negeri (SAC) dan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) menunjukkan komitmen terhadap usaha kemanusiaan serta pembinaan semula negara itu sambil mengelak lanjutan konflik bersenjata.

Menurut Anwar, semangat yang ditunjukkan kedua-dua pihak ialah memberi keutamaan kepada rakyat dan memastikan kestabilan yang membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan dengan berkesan.

“Semangat kedua-dua pihak, SAC dan NUG adalah bahawa keutamaan mesti diberikan kepada usaha kemanusiaan dan pembinaan semula.

“Dalam masa yang sama, mereka akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mengelakkan sebarang lanjutan pertempuran.

“Jadi saya mengambilnya dalam semangat itu, saya sangat gembira dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka, terutamanya kepada SAC, Jeneral, Perdana Menteri Kanan yang sebenarnya telah memberikan pendirian yang sangat tegas untuk memastikan bahawa pasukan kita, masyarakat sivil kita dan juga tentera yang membantu, akan diberi jaminan yang jelas bahawa ini adalah satu usaha yang aman,” katanya kepada media selepas menghadiri menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri Kementerian Kewangan hari ini.

Turut hadir adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan timbalannya, Lim Hui Ying.

Di Bangkok semalam, Anwar berkata, kedua-dua pihak NUG dan SAC telah berjanji untuk melanjutkan gencatan senjata di negara itu dan memastikan keselamatan petugas kemanusiaan.

Anwar berkata, jaminan tersebut diberikan selepas perbincangan berasingan dengan kedua-dua pihak semasa lawatan rasmi beliau ke Thailand.

Ditanya sama ada Malaysia boleh menganjurkan mesyuarat mengenai situasi di Myanmar, Anwar memaklumkan perkara itu masih terlalu awal untuk difikirkan.

Saya akan berunding dengan rakan sejawat pemimpin ASEAN saya, kerana ini adalah pendirian ASEAN yang mahu terus berhubung.

“Ada konsensus dalam lima perkara tersebut  dan ia bersifat inklusif, berbincang dan berinteraksi dengan semua pihak, dan kemudian saya akan bawa semula kepada ASEAN,” kata Anwar lagi.

Malaysia memainkan peranan aktif dalam usaha bantuan kemanusiaan, bermula dengan penugasan pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).

Sebuah hospital medan Malaysia turut didirikan di Myanmar yang dikendalikan oleh petugas perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada Khamis, Anwar mengadakan pertemuan dengan Min Aung Hlaing yang turut dihadiri bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra. Keesokan paginya, Anwar mengadakan pertemuan secara maya dengan Mahn Win Khaing Than untuk membincangkan keperluan kemanusiaan Myanmar yang semakin mendesak.

Media rasmi Myanmar sebelum ini melaporkan kerajaan tentera negara itu memberikan pengampunan kepada hampir 4,900 banduan sempena sambutan Tahun Baharu tradisional.

Sebuah badan pemantau bebas memaklumkan sekurang-kurangnya 22 daripada individu yang dibebaskan merupakan tahanan politik.

Hanya dua hari selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud melanda Myanmar tengah pada 28 Mac, Pasukan Bantuan Mencari dan Menyelamat Malaysia (SMART) telah digerakkan ke Naypyidaw di bawah Operasi Starlight III untuk melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta menyalurkan bantuan.

Jabatan Meteorologi dan Hidrologi Myanmar melaporkan sebanyak 109 gegaran susulan sejak gempa pertama berlaku termasuk satu gegaran berukuran 6.4 magnitud.

Bencana tersebut meragut lebih 3,600 nyawa, mencederakan lebih 4,800 orang dan menyebabkan sekurang-kurangnya 141 individu masih hilang.

Dianggarkan seramai sembilan juta penduduk termasuk 2.7 juta kanak-kanak terjejas teruk di 58 perbandaran merangkumi Bago Timur, Kayin, Magway, Mandalay, Nay Pyi Taw, Shan Selatan dan Sagaing. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Tak usah lah nak meyibuk sangat pasal Myanmar. Selesaikan dahulu masalah pencerobohan haram tanah negeri di Pahang. Yang Melayu dipenjara dan denda puluhan ribu. Penceroboh2 haram cina masih bebas setelah puluhan tahun merompak hasil negeri?

    Ini ke yang dikatakan intitutional reform?

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here