BANTING – Seorang lelaki ditemukan mati dalam keadaan tersangkut di perangkap sampah Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi memaklumkan, penemuan itu susulan rakaman video tular di media sosial yang memaparkan mayat hanyut di Sungai Langat.
“Bertindak atas maklumat, pasukan polis ke lokasi dimaksudkan dan menemui mayat yang tersekat di perangkap sampah. Kami kemudiannya mendapatkan bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting untuk mengeluarkan mayat tersebut,” katanya kenyataan hari ini.
Mohd Akmalrizal memberitahu, mangsa dalam keadaan berpakaian kemeja-T lengan panjang berwarna biru dan berseluar jeans.
“Tiada kecederaan luaran dikesan pada tubuh mangsa. Namun terdapat tatu bertulis Pablo Escobar di lengan kiri, VIVIMMII di rusuk kanan,serta satu lagi di leher kiri.
“Bedah siasat telah dijalankan dan punca kematian masih belum diketahui kerana kami masih menunggu hasil laporan penuh makmal,” katanya.
Setakat ini kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan memohon orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat di talian 03-318 72222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette