BATU PAHAT – Rakaman suspek yang memandu melawan arus dan merempuh seorang penghantar makanan hingga parah di Kawasan Perindustrian Sri Gading, di sini malam tadi, masih tidak dapat dirakaman keterangan kerana sedang koma.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, pihaknya masih menunggu perkembangan suspek, 54, yang masih tidak sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI).
Keadaan ini membuatkan polis tidak dapat merekodkan keterangan suspek bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Siasatan mendapati, kemalangan itu berlaku pada pukul 9.40 malam di Kilometer 8.5, Jalan Kluang berdekatan Kawasan Perindustrian Sri Gading, pukul 9.40 malam tadi.
“Kejadian membabitkan kereta dipandu lelaki (suspek) berkenaan dan motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 37 tahun.
“Semasa kejadian, penunggang motosikal itu dalam perjalanan dari arah Batu Pahat menuju ke Pura Kencana. Apabila tiba di lokasi, berlaku pertembungan dengan kereta dipandu secara melawan arus.
“Akibatnya, pemandu dan penunggang motosikal parah di kepala dan dirawat di zon merah HSNI,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Difahamkan, penghantar makanan, Mohd Hairi Jaafar, 37, juga patah tangan kiri serta kaki kanan akibat nahas itu.
Shahrulanuar berkata, siasatan lanjut dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai mempunyai maklumat kemalangan itu diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette