KUALA LUMPUR – Khairy Jamaluddin menyifatkan kemenangan dalam kes saman berkaitan isu Covid-19, sebagai isyarat agar pihak yang memfitnah petugas barisan hadapan memerangi wabak itu, wajar dihukum dengan jumlah yang tinggi.
Bekas Menteri Kesihatan itu berpendirian, jumlah ganti rugi RM2.5 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi hari ini merupakan pengajaran kepada golongan pemfitnah supaya tidak mengulangi tindakan serupa.

Menurut beliau, kenyataan Ustaz Abu Syafiq bukan sahaja menjejaskan kredibilitinya (ketika berjawatan Menteri Kesihatan), malah melunturkan semangat barisan petugas hadapan yang memerangi Covid-19.
“Keputusan mahkamah bukan sahaja kemenangan kepada saya mendapatkan kebenaran, bahkan kejayaan dalam mengiktiraf usaha semua pihak termasuk Kementerian Kesihatan membebaskan negara daripada pandemik,” katanya.
Khairy ditemui wakil media selepas Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan samannya terhadap Ustaz Abu Syafiq berhubung isu Covid-19.
Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memerintahkan defendan atau nama sebenarnya Mohd Rasyiq Mohd Alwi membayar ganti rugi RM2.5 juta kerana memfitnah Khairy.
Semasa prosiding, hakim tersebut berkata, Khairy selaku plaintif, layak menerima ganti rugi am berjumlah RM2 juta iaitu masing-masing RM250,000 bagi setiap lapan kenyataan fitnah.
Menurutnya, baki RM500,000 lagi ialah ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk, menjadikan jumlah keseluruhan ialah RM2.5 juta.
Bekas Menteri Kesihatan itu turut menyifatkan keputusan tersebut sangat jelas dan teliti apabila mendapati kenyataan defendan dibuat tanpa asas.
Ujar Khairy, beliau berserah kepada tempoh masa yang diambil untuk menyelesaikan kes itu kerana kebenaran akhirnya berpihak kepada beliau.
“Saya serah kepada badan kehakiman walaupun lama, mengambil masa dua atau tiga tahun, saya tiada masalah kerana kebenaran menjelma juga akhirnya,” ujar beliau.
Khairy memfailkan saman fitnah terhadap Mohd. Rasyiq pada 25 Januari 2022 dan mendakwa defendan memfitnahnya dengan membuat empat kenyataan, menyiarkan tiga video dan gambar di Instagram ‘Ustaz Abu Syafiq’ pada 20 Oktober 2024, 6 dan 10 Januari 2022.
Plaintif mendakwa, kenyataan fitnah dalam saman itu membawa maksud antaranya beliau berbohong dan menipu orang ramai dengan mendakwa dia telah diberi vaksin Covid-19 serta menerima dos ketiga serta memalsukan maklumat berkenaan status vaksinasi. – MalaysiaGazette