MELAKA – Seorang peniaga membuat laporan polis berhubung satu hantaran di Facebook (FB) menggunakan nama Lyan Liu yang menghina Melayu dan Islam termasuk mengajak masjid dibom ketika solat Jumaat.
Lelaki berusia 68 tahun itu berkata, laporan polis dibuat di Balai Polis Sungai Udang pada jam 5.11 petang semalam selepas dia terbaca hantaran berkenaan ketika sedang berada di Sungai Udang.

“Saya tidak berpuas hati dengan komen tersebut kerana telah melibatkan agama saya sebelum datang ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya sambil menunjukkan laporan polis kepada MalaysiaGazette.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit dalam kenyataannya mengesahkan menerima laporan itu.
“Kes bagaimanapun disiasat oleh pegawai penyiasat Johor kerana laporan pertama dibuat di Balai Polis Tampoi.
“Apabila ada negeri lain menerima laporan daripada kes yang sama, ia akan dirujuk kepada lokasi pertama yang polis terima aduan,”katanya. – MalaysiaGazette