NILAI – Seorang penolong pengurus sumber manusia mengalami kerugian RM579,110 selepas terperdaya dengan skim pelaburan dalam talian yang tidak wujud, hujung tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Nilai Supt Abdul Malik Hasim berkata wanita berusia 50-an itu mendakwa berurusan dengan individu menawarkan skim pelaburan kononnya berpangkalan di Taiwan pada 29 Dis lepas.
“Mangsa berminat untuk melabur kerana dijanjikan keuntungan lumayan dan diminta untuk memuat turun sebuah aplikasi ke telefon bimbit, sebelum memindahkan RM207,110 ke tujuh akaun diberikan suspek.
“Selain itu, mangsa juga menyerahkan wang tunai berjumlah RM372,000 kepada suspek yang mengaku sebagai wakil syarikat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Abdul Malik berkata mangsa menyedari ditipu selepas tidak dapat mengakses aplikasi itu pada Rabu lepas, selain gagal mengeluarkan keuntungan seperti dijanjikan.
Sehubungan itu mangsa membuat laporan pada 10.58 pagi semalam, di Balai Polis Nilai dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – BERNAMA