KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihati pentadbir tanah di semua daerah agar tidak menjadi boneka yang diperalatkan sehingga sanggup mengkhianati amanah yang dipertanggungjawabkan.
Baginda bertitah, pentadbir tanah sepatutnya menjadi benteng dan perisai negeri daripada sebarang bentuk salah laku, bukannya bertindak sebagai pelindung kepada perbuatan terlarang yang cuba dihalalkan atas alasan retorik.
“Jangan sekali-kali berkompromi dalam hal yang melibatkan kedaulatan undang-undang negeri. Jangan terpedaya dengan naratif kononnya pencerobohan itu atas nama kebajikan atau perjuangan rakyat.
“Undang-undang tidak boleh dipilih-pilih untuk dikecualikan mengikut siapa yang bercakap paling lantang, siapa yang menekan atau paling banyak menghulur,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah bertitah demikian ketika menyempurnakan perasmian Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang hari ini.
Dalam titah yang sama baginda turut memberi laluan sepenuhnya kepada pihak penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) untuk bertindak tegas tanpa pilih kasih terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang.
“Tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang. Sesiapa sahaja yang menyalahgunakan kuasa atau bersekongkol dalam urusan yang menyalahi undang-undang khususnya berkaitan pencerobohan tanah wajib dibawa ke muka pengadilan.
“Malah beta tidak akan bertolak ansur terhadap individu yang cuba mengganggu, menghalang atau mencabar kuasa penguat kuasa dan penjawat awam ketika menjalankan tugas,” titah baginda.
Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah turut menyeru agar semua pihak dan agensi yang diberi amanah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh integriti dan tidak menyembunyikan sebarang salah laku yang dikesan.
“Janganlah pentadbiran kerajaan beta bersikap lesu dan longlai. Jadilah mata dan telinga beta bukan mulut yang hanya tahu menyedapkan telinga.
“Jadikan ‘episod hitam’ ini sebagai satu pengajaran dan ingatan untuk semua yang berkuasa,” titah baginda lagi. – MalaysiaGazette