PASIR PUTEH — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia mengesan perubahan ketara dalam modus operandi penyeludupan rokok dan kemasukan pendatang tanpa izin, susulan penutupan banyak laluan haram di sempadan Malaysia-Thailand sejak Dis lepas.
Pengarah Maritim Kelantan Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, sindiket kini lebih cenderung menggunakan laluan laut berbanding darat, dan pihaknya telah mengenal pasti lebih 10 lokasi sebagai ‘hotspot’ yang sering digunakan penyeludup untuk ‘menurunkan’ barangan yang diseludup.
Beliau berkata, antara kawasan tumpuan yang sering dijadikan lokasi pendaratan termasuklah sepanjang tebing sungai dan pantai di Pengkalan Kubor, Tok Bali serta sekitar Kota Bharu.
“Sebelum ini penyeludup lebih gemar menggunakan kenderaan kecil di laluan darat untuk mengangkut rokok seludup, bagi mengurangkan kerugian jika ditahan pihak berkuasa. Namun kini mereka beralih kepada laluan laut,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Maritim Kelantan, di sini, malam tadi.
Erwan berkata biasanya barang seludup itu akan diturunkan di lokasi tertentu sebelum dipunggah oleh pihak lain. – MalaysiaGazette