RAWANG – Seramai 42 saksi telah dipanggil untuk siasatan berhubung penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar Sin Chew Daily, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Malah beliau tidak menolak kemungkinan beberapa lagi saksi akan dipanggil berhubung kes itu.
“Setakat ini siasatan masih lagi berjalan dan sudah ada 40 laporan polis. Kita telah pun memanggil saksi seramai 42 orang saksi dan setakat itu perkembangan terkini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis perasmian Balai Polis Country Homes okeh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah di sini hari ini.
Semalam, Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.
Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kedua-dua individu ditahan untuk siasatan lanjut.
Namun mereka dibebaskan pada 8.20 malam tadi.
Terdahulu, pihak polis merakam keterangan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman.
Ketua Editor itu dikatakan berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut manakala Timbalan Ketua Penyunting terbabit pula adalah pereka grafik gambar berkenaan.
Selasa lepas, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.
Insiden itu mendapat kiritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Berikutan itu, akhbar berkenaan tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan. – MalaysiaGazette
Ianya bukan suatu kekhilafan ianya sesuatu yang disengajakan untuk menghina YDPA sebagai simbol ketua sebuah negara Islam.
Mungkin hasrat dan cita2 sekian lama terpendam telah dizahirkan secara terang2an.
Diselatan tanah air ada yang sengaja menterbalikkan bendera negeri Johor?