Pelabuhan Klang

KUALA LUMPUR – Jumlah perdagangan Malaysia bagi bulan Mac 2025 meningkat 2.2% kepada RM249.89 billion, merekodkan pertumbuhan tahun ke tahun yang ke-15 bulan berturut-turut sejak Januari 2024.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan Industri (MITI) berkata, prestasi ini didorong oleh kenaikan eksport sebanyak 6.8% kepada RM137.31 bilion, yang juga merupakan rekod tertinggi bagi bulan Mac, manakala import menyusut 2.8% kepada RM112.59 bilion.

Lebihan dagangan mengembang sebanyak 94.4% berbanding Mac tahun lalu kepada RM24.72 bilion, merupakan nilai tertinggi sejak Jun 2023.

Ia merupakan lebihan dagangan yang ke-59 bulan berturut-turut direkodkan sejak Mei 2020.

Peningkatan eksport telah disokong terutamanya oleh kenaikan permintaan bagi barangan perkilangan, khasnya barangan elektrik dan elektronik (E&E) yang mencatatkan nilai bulanan tertinggi setakat ini, dengan jumlah peningkatan melebihi RM12 bilion tahun ke tahun.

Keluaran pertanian, terutamanya minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit, turut menyumbang kepada peningkatan eksport.

Dari segi pasaran, eksport ke rakan dagang utama seperti ASEAN, Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan merekodkan pertumbuhan, dengan eksport ke AS melonjak kepada nilai tertinggi yang baharu.

Eksport yang lebih tinggi turut dicatatkan ke negara rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) seperti Hong Kong SAR, Turkiye, Kanada dan Chile.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, perdagangan dan eksport pada Mac 2025 mencatatkan pertumbuhan dua digit, dengan perdagangan meningkat sebanyak 11.6% manakala eksport mengembang 16.1%.

Bagaimanapun, import mencatatkan peningkatan sebanyak 6.6%.

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2025, Malaysia mencatat nilai tertinggi bagi suku tahun pertama (S1) perdagangan, eksport dan import.

Perdagangan pada suku pertama (S1) 2025 meningkat 3.6% kepada RM715.73 bilion berbanding S1 2024 dan eksport mengembang
4.4% kepada RM378.36 billion.

Manakala import bertambah 2.8% kepada RM337.37 bilion. Sementara itu, lebihan dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 20.1% kepada RM41 bilion.

MITI berkata, meskipun wujud ketidaktentuan dalam persekitaran perdagangan global akibat tarif yang dikenakan oleh AS, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada kadar 4.5% hingga 5.5% bagi tahun 2025 (2024: 5.1%).

Buat masa ini, eksport tahun 2025 dijangka berkembang sebanyak 5.2% (2024: ↑5.7%).

Namun, langkah berhati-hati perlu diambil memandangkan ketidaktentuan permintaan global yang boleh menjejaskan pertumbuhan pelaburan dan
permintaan domestik.

Sebagai sebuah negara kecil yang mengamalkan perdagangan terbuka, Malaysia sememangnya terdedah kepada ketidaktentuan luaran yang semakin meningkat dalam landskap perdagangan global.

Sehubungan itu, MITI bersama agensinya yang memfokuskan kepada eksport, Matrade, akan terus memantau perkembangan global dengan lebih dekat bagi melindungi kepentingan ekonomi negara serta memastikan pertumbuhan perdagangan yang berterusan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here