KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Indonesia dikenali sebagai Bakri Zaini, 35, kini diburu polis selepas disyaki terlibat dalam satu kes bunuh yang berlaku di sebuah ladang di Pantu, Sri Aman, Kuching pada 16 April lalu.
Suspek yang berasal dari Makassar, Indonesia dipercayai terlibat dalam satu pergaduhan yang membawa kepada kematian seorang lelaki senegara di kawasan Ladang Fasa 2, Pantu sekitar jam 4.30 petang.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Anak Bunyam berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian daripada Balai Polis Pantu sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.
“Siasatan awal mendapati mangsa ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah yang dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam, dipercayai parang.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan termasuk leher, lengan kanan, tangan kanan, paha serta tapak kaki,” katanya dalam kenyataan.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 302 dan 435 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menyalurkan maklumat dengan menghubungi Balai Polis Sri Aman di talian 083-322121, pegawai penyiasat ASP Kalang Buda di talian 019-3317785, atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette