JOHOR BAHRU – Seorang pempengaruh media sosial, Goh Khai Seng, 40, mahu membersihkan namanya selepas mendakwa difitnah oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama dan gambarnya dalam satu akaun Facebook untuk menghantar komen jelek terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Dia yang dikenali sebagai Cayson Goh dalam kalangan pengguna media sosial mendakwa, nama serta gambarnya digunakan pihak lain dalam hantaran tersebut yang merupakan akaun Facebook palsu daripada pihak yang menyamar dirinya.
“Saya sudah membuat laporan polis termasuk meminta rakan-rakannya membantu membuat aduan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Saya ingin merakamkan permohonan maaf yang setulus-tulusnya kepada Yang di-Pertuan Agong kerana sebagai anak Johor, saya sama sekali tidak mungkin dan tidak akan bersikap biadab terhadap institusi diraja.
“Segala kenyataan yang menghina institusi diraja bukan daripada saya dan saya ingin menafikan sekeras-kerasnya kandungan tersebut dan saya amat kesal dan dukacita dengan apa yang telah berlaku,” katanya dalam sidang akhbar di Taman Setia Tropika di sini hari ini.
Katanya, beliau tampil mengadakan sidang akhbar hari ini kerana menjadi mangsa serangan kepada pihak yang berniat jahat.
Beliau berkata, ini bukan fitnah pertama diterimanya kerana baru-baru ini terdapat individu mewujudkan akaun media sosial palsu menggunakan nama dan gambarnya bertujuan mengelirukan orang ramai dan mencemarkan nama baiknya.
Khai Seng berkata, kenyataan tersebut dikesan dimuat naik dalam Facebook menggunakan nama Cayson Goh yang turut menggunakan nama serta gambarnya.
“Saya tegaskan bahawa akaun Facebook rasmi saya mempunyai tanda semak biru bagi membuktikan ia telah disahkan oleh pihak Facebook, akaun palsu pula tidak mempunyai sebarang pengesahan dan hanya mempunyai 11 rakan, ini jelas membuktikan ia merupakan akaun palsu.
“Lagi pun sebagai pempengaruh dalam talian, saya sedar imej saya terbuka kepada umum dan mudah disalahgunakan oleh pihak yang berniat jahat,” ujar beliau.
Menurut Khai Seng, apa yang lebih membimbangkan netizen yang tidak mengetahui perkara sebenar mengancam untuk datang mencari dan cuba mengetahui alamat dan nombor telefonnya hingga merasakan keselamatan hidup dan keluarganya terancam.
Artikel berkaitan: Hina Agong: Polis siasat akaun palsu guna nama ‘Cayson Goh’
Cayson Goh dakwa ada pihak salah guna gambar, Firdaus suruh buat laporan polis
Pemilik FB ‘Cayson Goh’ didakwa hina Yang di-Pertuan Agong
Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa polis mengambil tindakan tegas terhadap seorang pengguna Facebook yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam laman sosial miliknya pada Rabu.
Menurut beliau, tindakan individu tersebut mengeluarkan komen menghasut yang mendatangkan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong merupakan satu perbuatan sangat melampau.
Seorang pengguna Facebook ‘Cayson Goh’ didakwa membuat hantaran menggunakan kata-kata kesat berhubung keberadaan Sultan Ibrahim dalam sambutan negara terhadap Presiden China, Xi Jinping, pada Rabu.
Lelaki terbabit memuat naik tulisan itu dalam bahasa Cina dan terjemahan kata-kata terbabit didakwa mengandungi beberapa komen yang berunsur penghinaan terhadap Seri Paduka Baginda.- MalaysiaGazette
Ramai percaya pihak polis mempunyai kepakaran mencari pihak2 yang baling batu sembunyi tangan tersebut. Ianya sebuah penghinaan yang dasyat terhadap YDPA!