KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi susulan kenyataan berbaur fitnah yang menggesa beliau memulangkan aset milik parti itu.
Peguam Mahathir, Rafique Rashid Ali dalam kenyataan kepada media berkata, satu notis tuntutan telah dihantar kepada Puad susulan kenyataan yang dibuat beliau pada Sabtu lalu.
Menurut Rafique, tindakan Puad yang memadamkan kenyataan tersebut tanpa mengemukakan sebarang permohonan maaf kepada Dr.Mahathir tidak boleh dianggap selesai begitu sahaja dan wajar diberi perhatian serius.
Notis tuntutan itu antara lain menuntut agar Puad mengadakan satu sidang media terbuka di Bangunan UMNO bersama wakil media arus perdana dan media sosial bagi mengakui kenyataan tersebut merupakan satu kesilapan, serta menafikan dakwaan kononnya Dr. Mahathir telah menyalahgunakan harta milik parti.
Dalam masa sama, Puad turut diminta mengemukakan permohonan maaf secara bertulis tanpa syarat kepada Dr. Mahathir, yang disertakan dengan akujanji bahawa beliau, wakilnya mahupun mana-mana pihak berkaitan tidak akan lagi mengeluarkan sebarang kenyataan atau penerbitan lanjut yang boleh mencemarkan reputasi serta integriti bekas Perdana Menteri itu.
Rafique menegaskan, semua tuntutan itu perlu dipenuhi dalam tempoh tujuh hari dari tarikh notis dikeluarkan, iaitu pada 17 April 2025.
“Dr. Mahathir merizabkan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang berkaitan perkara ini sekiranya difikirkan sesuai manfaat dan perlu, termasuk kepada pihak-pihak lain,” tambah Rafique.
Pada masa yang sama, Dr. Mahathir menjelaskan beliau telah menyerahkan semula hak pemegang amanah ke atas sebidang tanah seluas 9,723 meter persegi di Kuala Lumpur kepada UMNO pada tahun 2015.
Jelasnya, tindakan undang-undang yang difailkan UMNO untuk mendapatkan perisytiharan mahkamah bagi memindahkan hak milik tanah itu tidak melibatkan dirinya. – MalaysiaGazette