Timbalan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan dan calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir atau lebih mesra dikenali sebagai Ustaz Yusri bertemu pengundi ketika program ziarah kasih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Batu Masjid, Tapah. Foto ABDULLAH YUSOF, 18 APRIL 2025.

TAPAH – Golongan muda terutamanya pengundi baharu dinasihatkan tidak terpengaruh dengan fitnah dan dakwaan jahat mengatakan UMNO bergabung dengan DAP sehingga digelar UMDAP.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan sebaliknya menegaskan bahawa Barisan Nasional (BN) terutamanya UMNO tidak pernah bergabung dengan mana-mana parti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, sebaliknya BN hanya menubuhkan kerajaan sedia ada bersama Pakatan Harapan (PH) berdasarkan perjanjian dengan gabungan parti berkenaan.

“UMNO dan BN menubuhkan kerajaan adalah kerana kita hendak mengurus negara kerana selepas PRU 15 tidak ada parti yang boleh menubuhkan kerajaan dan Yang Dipertuan Agong menekankan bertitah supaya negara diutamakan.

“Jadi UMNO dan BN sebagai parti yang lama menjadi kerajaan menyambut seruan ini supaya negara diutamakan dan kita menubuhkan kerajaan selepas PRU. Kita tidak bergabung sebelum pilihan raya macam pihak lain menubuhkan gabungan sebelum PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas selesai menziarah pengundi sekitar Kampung Batu Masjid bersama calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, di sini, pada Jumaat.

Mohamad berkata, pihakya amat berharap agar penjelasan yang diberikan dapat difahami semua pihak bahawa UMNO dan BN tidak pernah bergabung dengan DAP serta PH.

“Itulah yang kami buat dan tidak benar apa yang disebut bahawa UMNO bergabung dengan mana-mana pihak terutamanya tuduhan liar mengatakan UMNO ini UMDAP, UMNO bergabung dengan DAP tidak benar, kami tidak bergabung dengan sesiapa sehingga sekarang.

“Jadi jangan silap faham kepada anak muda dan orang yang masih lagi mendengar fitnah-fitnah mengatakan UMNO DAP, UMNO DAP. Untuk setakat hari ini kami masih lagi bersendirian dan kami tidak bergabung dengan sesiapa,” katanya.

PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.

Pertandingan tiga penjuru itu menyaksikan pertembungan antara Ustaz Yusri mewakili BN, Abd Muhaimin Malek dari PN dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here