KUALA LUMPUR – ‘Little Dhaka’ di Medan Imbi yang yang menjadi penghuni pendatang asing tanpa izin (PATI) digempur Jabatan Imigresen Malaysia JIM), semalam.
Serbuan di enam blok bangunan empat tingkat yang dilengkapi dengan premis kedai bermula jam 7.30 malam itu dilakukan oleh JIM Putrajaya bersama JIM Negeri Sembilan dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
MalaysiaGazette yang menyertai serbuan itu mendapati, setiap unit rumah di blok terbabit mempunyai kira-kira lima bilik dan boleh memuatkan lebih daripada 20 warga asing dengan kadar caj setiap bilik serendah RM600.
Menyedari kawasan tersebut diserbu, dua warga asing lelaki cuba melarikan diri hingga kaki berdarah akibat terjatuh.
Seorang wanita warga asing yang mengandung enam bulan turut lari kerana elak dicekup sebelum tiba-tiba pitam ketika ditahan.

Bukan itu sahaja, ada warga asing yang cuba menyembunyikan diri di atas bumbung dan menyamar sebagai pelanggan.
Ada juga yang cuba menyoggok anggota operasi, namun tidak diendahkan oleh pihak terlibat.
Bagaimanapun, mereka yang cedera dan pitam telah diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas ditahan oleh pihak anggota.

Menurut Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban, seramai 506 warga asing terdiri daripada 448 lelaki dan 58 wanita telah ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan undang-undang Imigresen hasil pemeriksaan ke atas 895 individu.
“Kesemua tangkapan berusia antara 25 hingga 65 tahun yang melibatkan 165 warga Bangladesh, (142) warga Nepal, (109) warga Indonesia, (46) warga Myanmar, (25) warga India dan (19) warga Sri Lanka.
“Antara kesalahan dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, langgar syarat pas, tinggal melebihi masa, ada yang memiliki pas lawatan kerja dikeluarkan di Johor, tetapi berada di ibu negara tanpa justifikasi munasabah.
“Kita juga kesan warga asing yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) luar yang tidak diiktiraf di negara ini dan mereka semua akan disiasat secara menyeluruh bagi menentukan status sebenar,” katanya dalam sidang media di lokasi malam tadi.

Tambah beliau, Medan Imbi dikenal pasti sebagai lokasi panas aktiviti PATI dan kebanyakan tingkat atas beberapa blok premis kedai di situ, dijadikan bilik sewa.
Kali terakhir serbuan di kawasan itu dilakukan pada Februari lalu.

Dalam pada itu, Zakaria juga berkata, statistik penguatkuasaan sepanjang tahun ini bermula Januari hingga kelmarin (16 April) telah merekodkan sebanyak 3,870 operasi dilaksanakan di seluruh negara.
“Seramai 52,318 individu telah diperiksa sepanjang tempoh itu, manakala tangkapan terhadap majikan mencecah 491 orang kerana menggaji pendatang tanpa izin (PATI).
“Dalam tempoh sama, 22,486 PATI ditahan dan daripada jumlah itu, 13,677 tangkapan dibuat secara langsung oleh Jabatan Imigresen, manakala 8,809 orang lagi diserahkan oleh agensi lain.
“Tangkapan turut direkodkan di pintu masuk negara apabila individu yang gagal mengemukakan pas sah atau menggunakan dokumen meragukan dikesan cuba melepasi pemeriksaan imigresen,” katanya.

Mengulas lanjut Zakaria berkata, sistem pengesahan secara dalam talian membolehkan status kesahihan pas dikenal pasti serta-merta sekali gus membolehkan tindakan diambil segera.
“Kita akan melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan dan kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi undang-undang Imigresen.
“Semua warga asing yang tinggal di negara ini perlu mematuhi syarat keberadaan yang sah dan menghormati undang-undang yang ditetapkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette