Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) bercakap kepada wartawan selepas merasmikan Majlis penutupan Simposium Perubatan Sukan Malaysia 2025 di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 19 APRIL 2025

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) kini dalam proses memperhalusi draf awal Akta Good Samaritan  bertujuan melindungi orang awam yang tampil memberikan bantuan kecemasan di lokasi kejadian sebelum ketibaan pasukan perubatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, usaha itu sedang berjalan bersama Unit Perundangan KKM (PUU) dan pihak-pihak berkaitan termasuk Pusat Pengajian Perubatan Kecemasan (PPPK).

Katanya, draf akta itu telah dibawa peringkat perbincangan dan pengumpulan input dan dijangka akan digerakkan dengan lebih serius bermula tahun hadapan.

“Bukan tidak penting tetapi ini bukan satu akta yang boleh disiapkan secara tergesa gesa. Kita mahu pastikan apabila ia dilaksanakan kelak, pelaksanaan dan perlindungannya benar-benar menyeluruh.

“Saya sudah angkat perkara ini ke PUU dan juga ke PPPK dan tahun depan kita akan beri tumpuan penuh untuk menggerakkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Malaysian Sports Medicine Symposium 2025, yang turut dihadiri lebih 200 peserta daripada pelbagai disiplin termasuk doktor, pakar perubatan sukan, fisioterapis, pakar sains sukan, pakar pemakanan dan penyelidik.

Menurut Dr Dzulkefly, kewujudan akta yang sama akan memberi keyakinan kepada rakyat yang ingin membantu semasa kecemasan termasuk Cardio-Pulmonary Resuscitation (CPR) atau kaedah pertolongan kecemasan tanpa bimbang dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, pelaksanaan CPR dan bantuan awal sewajarnya diberi pengiktirafan dan perlindungan dalam sistem kesihatan negara.

“Saya mahu apabila dasar CPR dan latihan pertolongan cemas dijadikan sebahagian daripada agenda nasional, kita juga mempunyai satu rangka undang-undang yang melindungi orang awam yang ikhlas mahu membantu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here