Khairuddin A Rahim

JOHOR BAHRU – Perebutan jawatan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Batu Pahat antara yang panas di Johor dalam pemilihan bagi penggal 2025-2028 esok.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ir Khairuddin A Rahim yang akan mempertahankan jawatan akan ditentang Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.

Menurut Khairuddin, lebih 1,000 daripada 6,000 ahli PKR akan mengundi esok dan berharap pertandingan akan berjalan lancar dan dalam suasana kekeluargaan.

“Saya sudah membuat persiapan sewajarnya dan menyerahkan kepada 1,000 ahli PKR Cabang Batu Pahat yang layak mengundi untuk membuat keputusan.

“Cabang Batu Pahat adalah yang paling banyak mempunyai ranting di Johor iaitu 70 ranting dan sebelum ini dapat bergerak dengan baik,” katanya ketika dihubungi.

Khairuddin berkata, jika diberi mandat untuk kembali menerajui cabang pada kali ini, pihaknya akan memastikan kerusi Parlimen Batu Pahat kekal milik PKR.

Katanya, PKR sudah tiga penggal menang kerusi berkenaan dan yakin dapat mengekalkan kubu kuat parti tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 nanti.

Menurutnya, usaha mengekalkan kerusi tersebut memerlukan persiapan rapi dan kesepaduan ahli parti di semua peringkat.

Sekiranya diberi kepercayaan sekali lagi untuk memimpin cabang tersebut, beliau akan meneruskan semua yang pernah dilakukan sebelum ini dengan menjaga kebajikan ahli dan menyedia peruntukan yang cukup untuk melaksana program atau aktiviti.

“Saya akan memastikan keperluan dan kebajikan ahli terbela. Sebelum ini semuanya berjalan lancar, tersusun dan sistematik termasuk laporan kepada pihak Pertubuhan Pendaftaran (ROS),” ujarnya.

Khairuddin sebelum ini menang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang atas tiket Parti Amanah Negara (Amanah) pada PRU-14 dan menjadi wakil rakyat bagi tempoh 2018 hingga 2022.

Beliau kemudian menyertai PKR sebelum bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) pada Mac 2022 di DUN Rengit menentang bekas Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi namun tewas.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here