KUALA LUMPUR – Bintang Ceria Popstar, Erissa Puteri Hashim sah bergelar isteri kepada jejaka pilihannya, Muhamad Danial Iskandar.
Majlis pernikahan pasangan tersebut berlangsung di sebuah hotel terkemuka semalam.
Erissa menerima rantai berlian yang menjadi warisan keluarga tidak ternilai dan rantai emas sebagai simbol kasih sayang.
Erissa, 22, dan Danial, 26, yang memilih persalinan rona putih gading, dinikahkan Pendaftar Nikah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Dr Adam Drahman dengan berwalikan bapa pengantin perempuan, Hashim Daud.
Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin 70 gram emas bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11 dulang. Bagaimanapun wang hantaran tidak dinyatakan.
Majlis pernikahan dihadiri kira-kira 200 tetamu dalam kalangan anggota keluarga dan kenalan rapat.
Erissa ketika ditemuiĀ tidak mempunyai masalah membuat keputusan untuk menamatkan zaman bujang lebih awal apatah lagi di ketika karier seninya berkembang.
“Mengenai umur dan karier seni, saya tiada masalah kerana keluarga mentua ada syarikat produksi sendiri. Mereka faham dengan karier saya,” katanya.
Sementara itu, Danial mengakui lega dan mahu menyokong Erissa meneruskan karier seni.
“Saya tidak pandang isteri sebagai artis. Saya tertarik dengan pendiriannya,” katanya.
Sebagai rekod, Erissa menyertai nusim kedua Ceria Popstar pada 2014 dan mula menceburi bidang lakonan dengan drama cilik di Astro seperti Geng UPSR, Puasa Oh Puasa, SMK dan banyak lagi.-MalaysiaGazette