KUALA LUMPUR – Calon Ketua Cabang Keadilan Kuala Selangor, Faizal Rahman mengkritik keras proses Pemilihan Keadilan 2025 yang disifatkannya sebagai sarat dengan diskriminasi, kelemahan sistem dan manipulasi undi yang menghakis asas keadilan sebenar dalam parti.
Faizal yang juga seorang peguam telah menunggu selama seminggu sebelum mengeluarkan kenyataan bagi meneliti dan memahami sepenuhnya perjalanan pemilihan khususnya yang berlaku peringkat negeri.
“Saya beri masa untuk meneliti semua komen dan ulasan berkaitan pemilihan Keadilan 2025. Malangnya, apa yang saya saksikan sangat mengecewakan dan mencemarkan prinsip demokrasi dalaman parti,” katanya dalam kenyataan di laman sosialnya.

Faizal mendakwa Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang sepatutnya berfungsi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam konteks dalaman parti gagal memainkan peranan sebagai pemantau bebas.
Sebaliknya, beliau menyifatkan JPP sebagai pelaksana percaturan pihak tertentu terutamanya melalui pelaksanaan sistem undian atas talian yang penuh keraguan.
“Apa yang berlaku bukan sekadar kelemahan teknikal. Ia adalah penipuan yang terang-terangan. Di Kuala Selangor, keputusan diumumkan hanya selepas 19 jam 30 minit proses mengundi berakhir. Adakah ini logik dengan hanya 3,800 ahli mengundi?” soalnya.
Tambah beliau, sistem online atau atas talian yang digunakan bukan sahaja menyukarkan pengundi malah secara langsung menafikan hak ramai anggota parti yang telah mengemaskini keahlian dan membayar yuran tetapi gagal untuk mengundi akibat ralat sistem.
Beliau turut mempersoalkan ketidakkonsistenan keputusan yang diumumkan khususnya apabila ada calon ketua cabang yang dilaporkan hanya menerima empat undi walaupun telah mendaftarkan lebih 100 pencadang tetap yang tidak bertindih.
Katanya, angka yang seharusnya memastikan sokongan minimum yang jauh lebih tinggi.
“Bayangkan calon ketua cabang hanya dapat empat undi sedangkan mereka ada pencadang tetap seramai 110 orang yang sah. Ke mana hilangnya undi-undi itu? Logik apa yang dipakai oleh sistem ini,” ujarnya.
Faizal juga mempersoalkan kejanggalan pola keputusan di mana ada calon ketua cabang menang tetapi keseluruhan pasukan ahli jawatankuasanya tewas dan ia sangat jarang berlaku dalam sejarah pemilihan Keadilan yang lazimnya berlaku secara pengundian blok atau berkumpulan.
Beliau turut menuntut JPP mengemukakan data lengkap berkenaan jumlah anggota gagal mengundi akibat sistem serta laporan penuh bilangan undi rosak atau ralat terutamanya dalam kes yang membabitkan Kuala Selangor.
“Anggota-anggota yang dinafikan hak mereka akibat kegagalan sistem bukan boleh ditebus dengan alasan ‘ralat biasa’. Ini pelanggaran fatal terhadap hak asasi anggota yang dijamin di bawah perlembagaan parti.
“Adakah ini sistem terbaik yang PKR banggakan? Jika ya, bersediakah kita guna sistem ini dalam PRU atau PRN kelak? Jika tidak hentikanlah sistem manipulatif ini dan usah paksa anggota menerima sesuatu yang nyata membunuh kewarasan dan akal mereka,” tegasnya. – MalaysiaGazette