KUALA LUMPUR – Hospital Miri melakar sejarah apabila berjaya melaksanakan pembedahan pemindahan organ pertama di Sarawak bagi tahun ini.
Pembedahan tersebut melibatkan seorang penderma organ berdaftar sejak tahun 2014 berusia 43 dan disahkan telah meninggal dunia.
Dalam prosedur yang diadakan Rabu lalu, buah pinggang mendiang telah didermakan kepada seorang pesakit yang memerlukan sekali gus menjelmakan hasrat mulia arwah untuk membantu sesama insan.
“Hasrat mulianya kini menjadi kenyataan. Beliau menghadiahkan buah pinggangnya kepada pesakit memerlukan,” menurut hantaran hospital di Facebook.
Sebagai rekod, pembedahan itu juga adalah yang kelima di Hospital Miri.
Pembedahan berkenaan dijayakan oleh pakar bedah dari Hospital Umum Sarawak (HUS), Aaron Goh dan Kamal Raj dibantu oleh pasukan Pusat Sumber Transplan Nasional terdiri daripada Dr Engku Emilia Engku Awang; SN Mohammad Aliff Abdullah serta dua jururawat urologi iaitu Siti Zulaikha Md Sidek dan Liz Estevera Gabin.
Dalam masa yang sama, hospital tersebit turut merakamkan ucapan takziah dan penghargaan tidak terhingga kepada isteri dan keluarga mendiang atas keputusan penuh keberanian dan keikhlasan membenarkan organ beliau didermakan.
“Kami dari pihak Hospital Miri ingin merakamkan salam takziah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada isteri dan keluarga mendiang. Dalam saat yang sukar, mereka telah membuat keputusan dengan penuh keberanian dan keikhlasan untuk membenarkan organ mendiang didermakan.
“Keputusan besar ini merupakan tanda cinta dan kasih sayang yang mendalam, serta hasrat untuk memberikan harapan dan kehidupan baru kepada orang lain,” tambah kenyataan hospital itu. – MalaysiaGazette