KUALA LUMPUR – Hukuman berat perlu dikenakan kepada mana-mana pihak yang secara sengaja atau tidak melakukan kesilapan khususnya berhubung isu melibatkan kedaulatan negara, tegas Felo Majlis Professor Negara, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong.
Beliau berkata, biar pun siasatan sedang dijalankan tetapi melihat kepada siri-siri kesilapan seperti ini, ia perlu difikirkan semula mengenai hukuman yang perlu dikenakan.
“Sudah terlalu banyak puak-puak seperti ini melakukan kesilapan. Walaupun pihak yang berbeza tetapi ia bersangkutan dengan isu kedaulatan negara.
“Sebelum ini, isu bendera terbalik, bucu lima diikuti bucu bintang tak cukup dan sekarang isu bulan sabit tak ada pada bendera negara.
“Sudah sampai masanya perkara seperti ini perlu dinoktahkan supaya ia tidak akan berlarutan lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Beliau berkata demikian menerusi program SKOP MG yang membawakan tajuk Salah Jalur Gemilang: Tiada Maaf Bagimu bersama seorang lagi panel jemputan, Zee How Tai yang merupakan sorang peguam.
Menurut Kok Seong yang juga merupakan seorang pakar bahasa dan perpaduan berkata, kerajaan yang merupakan ketua pentadbiran harus memainkan peranan sebaiknya untuk menangani perkara itu.
“Saya kira kerajaan perlu benar-benar tegas untuk memastikan perkara ini tidak akan menjadi mainan pihak-pihak tidak bertanggungjawab.
“Saya pernah katakan mengenai akta yang lebih berat harus dikenakan dan sekarang kita sudah dengar ada tiga agensi yang mengambil maklum perkara ini.
“Kita harapkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis akan memberikan jawapan yang boleh menutup terus perkara-perkara yang melibatkan negara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kok Seong menegaskan, satu perubahan drastik khususnya dalam sistem pendidikan di negara ini harus dilakukan.
“Ini semua berkait dengan jati diri dan sayang pada negara. Jika pendidikan kita tidak mengutamakan perkara ini, kita akan melalui perkara sama sampai bila-bila.
“Sistem pendidikan satu aliran itu sangat baik kerana tidak akan wujud pengasingan dan perkara-perkara mengenai sayang kepada negara perlu dipertingkatkan.
“Selain itu, saya melihat ada antara pemimpin negara kita juga tidak boleh dan fasih berbahasa kebangsaan. Bagaimana nak memajukan dan sayang pada negara jika penguasaaan Bahasa kebangsaan sangat lemah?” soalnya.
Sebelum ini, akhbar berbahasa Cina iaitu Sin Chew Daily telah memohon maaf atas ilustrasi di muka depannya yang mempunyai kesilapan teknikal apabila Jalur Gemilang tidak mempunyai anak bulan.
Ekoran itu, ketua pengarang akhbar itu telah digantung tugas serta merta.
Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzi berkata, kertas siasatan SKMM sudah siap dan akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya. – MalaysiaGazette