PRU16
Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani akan mengadakan sidang akhbar khas berhubung kontroversi Kampung Sungai Baru pada minggu depan.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, sidang akhbar itu akan menjelaskan mengenai isu sebenar pembangunan di kampung berkenaan.

Katanya, sejak dari awal lagi beliau sebelum ini sudah melarang penduduk Kampung Sungai Baru menandatangani perjanjian berkenaan.

“Mengenai isu Kampung Sungai Baru, satu sidang akhbar khas akan saya adakan minggu hadapan kerana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang datang ke sini (Kampung Sungai Baru) tidak memahami (isu sebenar).

“Malah sejak penggal pertama saya menjadi wakil rakyat, saya sudah pesan supaya (mereka) tidak tandatangan tetapi mereka tetap tandatangan.

“Oleh itu, saya akan jelaskan isu ini dari mula hingga akhir (dalam sidang akhbar khas),” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Perladangan dan Komoditi, di Pintu Gerbang Kampung Baru hari ini.

Majlis sambutan Aidilfitri itu yang bermula pukul 10 pagi dihadiri kira-kira 20,000 orang terdiri daripada penduduk tempatan dan pelancong asing.

Isu Kampung Sungai Baru timbul apabila kerajaan merancang untuk mengambil semula tanah bagi tujuan pembangunan semula melalui Akta Pengambilan Tanah 1960.

Namun sebahagian penduduk membantah tindakan itu kerana mendakwa nilai pampasan yang diberikan jauh lebih rendah berbanding harga pasaran sebenar.

Pada 25 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara terhadap pengusiran beberapa penduduk Kampung Sungai Baru setelah mereka memfailkan semakan kehakiman berhubung pengambilan tanah mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa sebelum ini berkata, kerajaan bersedia untuk mengadakan rundingan semula dengan pemilik hartanah yang terlibat namun belum ada penyelesaian konkrit dicapai.

Jelas Zaliha, proses pengambilan tanah berdasarkan Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) bagi 110 unit yang melibatkan 37 lot teres, 72 unit flat dan satu lot pencawang elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah selesai sepenuhnya pada Ogos 2023.

Bayaran pampasan ke atas pengambilan tanah juga sudah diberikan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL) kepada pihak berkepentingan secara berperingkat pada Februari 2022 hingga Januari 2023.

Isu kampung itu kembali hangat selepas penduduk di unit flat yang terlibat dengan APT 1960 menerima notis pengosongan premis menjelang beberapa hari sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here