Pemilik gerai minuman, Adham Muhammad Sharif, sedang mengopek buah kelapa muda untuk menyediakan air kelapa muda yang dipesan pelanggan di gerainya ketika tinjauan kekurangan bekalan buah kelapa di Selayang, Selangor. Foto HARI ANGGARA, 21 JANUARI 2025.

KUALA LUMPUR – Kelapa segar yang dibenar untuk dieksport ke Republik Rakyat China (RRC) menerusi Protokol Keperluan Fitosanitari khusus untuk tujuan minuman sahaja.

Ketua Pengarah Pertanian, Datuk Nor Sam Alwi berkata keutamaan diberikan kepada kelapa wangi (aromatic coconut) seperti varieti kelapa pandan yang mempunyai aroma unik berbau pandan dan tahap kemanisan brix sekitar 6.7˚.

Jelasnya, sebelum ini negara mengeksport kelapa muda ke negara itu dengan hanya berasaskan keperluan sijil fitosanitari tanpa adanya protokol.

Sehubungan itu katanya, pelaksanaan protocol baharu menerusi pemeteraian kerajaan bersama China baru-baru ini menandakan peningkatan kawalan biosekuriti di samping mewujudkan elemen kebolehkesanan (traceability) yang lebih sistematik dalam pengeluaran kelapa muda berkualiti di negara.

“Penekanan kepada keperluan ladang berdaftar, pengurusan amalan pertanian baik (Good Agricultural Practices) serta pematuhan kepada sistem kawalan perosak bersepadu (Integrated Pest Management) akan memastikan hanya kelapa muda yang berkualiti tinggi dan selamat dieksport mengikut piawaian antarabangsa,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut beliau, laluan pasaran itu juga merupakan strategi jangka panjang bagi mempelbagaikan negara dagangan bagi produk pertanian Malaysia pada masa hadapan.

Katanya, pada tahun 2023 pengeluaran kelapa negara mencecah 624,000 tan metrik.

Daripada jumlah ini, sebanyak 6,000 tan metrik kelapa muda telah dieksport.

“Keutamaan eksport kelapa muda adalah berasaskan permintaan pengguna luar
negara dan memberi pulangan nilai tambah, khususnya dalam bentuk minuman
segar.

“Kelapa tua pula diimport dalam jumlah besar melebihi 278,000 tan metrik bagi menampung keperluan khusus industri pemprosesan berasaskan kelapa seperti santan, kerisik, kelapa kering dan sebagainya,” katanya lagi.

Sebagai rekod, tiga negeri utama pengeluar kelapa di Malaysia ialah Selangor, Johor dan Perak.

Sebanyak 93 peratus kawasan kelapa diusahakan oleh pekebun kecil, manakala selebihnya dimiliki oleh estet (6.5 peratus) dan agensi kerajaan (0.5 peratus).

Berdasarkan rekod Jabatan Pertanian, dianggarkan seramai 60,000 pengusaha kelapa di seluruh negara.

Dari segi pengeluaran, pekebun kecil menyumbang lebih 80 peratus kepada jumlah pengeluaran negara, membuktikan penyertaan mereka serta sokongan daripada semua pihak berkepentingan adalah teras kepada pertumbuhan industri kelapa negara.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here