KUALA LUMPUR – Seorang mangsa rentung apabila keretanya terbakar selepas merempuh penghadang jalan di Kilometer 654, Lebuh Raya Utara – Selatan arah utara dekat Pendang, Kedah malam tadi.
Kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik serta terbakar sehingga menyebabkan pemandunya rentung.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku semasa mangsa memandu dari Selatan menghala ke Utara.
“Apabila sampai di lokasi kereta yang dipandu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas melanggar penghadang jalan sebelah kiri lalu terbalik menyebabkan penghadang jalan terputus dan menembusi cermin hadapan kereta.
“Mansa tidak sempat diselamatkan oleh orang awam kerana kereta yang dipandu terbakar.
“Kebakaran telah dipadam dengan bantuan bomba dan mayat mangsa telah dikeluarkan dalam keadaan tidak sempurna dan terbakar keseluruhan bahagian,” katanya dalam kenyataan.
Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik (HSBAS) untuk dibedah siasat.
Justeru polis sedang mencari pembeli kereta Hyundai Sonata untuk membantu siasatan kemalangan yang sama.
Rodzi berkata, pihaknya berjaya mengesan pemilik kereta itu untuk membantu siasatan.
Beliau berkata, kereta yang bernombor pendaftaran BGK 2338 itu adalah milik seorang wanita yang sudah dijual kepada seorang lelaki pada tahun 2016 tanpa menukar nama.
“Sekarang ini kita sedang mengesan pembeli melalui pemilik kenderaan terbabit bagi memudahkan kami mendapatkan identiti pemandu yang rentung dalam kemalangan itu,” katanya.
Polis juga menggunakan khidmat pegawai Unit Forensik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah untuk mendapatkan nombor casis kereta berkenaan. – MalaysiaGazette