Bekas atlet negara, G Saravanan turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan komitmen untuk membantu bekas atlet kebangsaan, G Saravanan yang menghidap penyakit Motor Neurone Disease (MND) iaitu satu keadaan serius jarang berlaku dan tanpa penawar setakat ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sentiasa bersedia menyalurkan sokongan dan bantuan sewajarnya kepada tokoh-tokoh negara yang pernah mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.

“Tokoh seperti Saravanan telah mencipta sejarah dan mengangkat martabat sukan negara. Apabila mereka berdepan ujian kesihatan, adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai kerajaan dan masyarakat untuk membantu.

KKM bersedia memberikan apa jua bentuk sokongan, selari dengan prinsip kesejahteraan menyeluruh untuk semua,” katanya kepada media hari ini.

Saravanan menang emas untuk negara di Sukan Komanwel pada 1998.

Untuk makluman, Saravanan yang kini berusia 55 tahun mencuri tumpuan rakyat Malaysia ketika temasya Sukan Komanwel Kuala Lumpur 1998 apabila memenangi pingat emas dalam acara 50 kilometer jalan kaki meskipun terpaksa menahan kesakitan akibat kekejangan otot pada penghujung perlumbaan.

Detik bersejarah itu bukan sahaja membuktikan kekuatan mental dan fizikal beliau malah menyumbang pingat emas ke-10 negara pada temasya tersebut menjadikan Malaysia antara empat kontinjen terbaik keseluruhan.

Penyakit MND yang kini dihidapinya menyebabkan kelemahan otot progresif dan kehilangan keupayaan untuk bergerak dan bercakap.

MND ini juga pernah dikaitkan dengan legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.

Dr Dzulkefly menegaskan, prinsip total well-being akan terus menjadi dasar utama KKM, memastikan setiap rakyat termasuk bekas atlet, tokoh negara dan individu rentan diberi perlindungan dan perhatian dalam sistem kesihatan nasional.

“Kesihatan bukan hanya tentang rawatan fizikal tetapi juga tentang kesejahteraan menyeluruh, emosi, mental dan sokongan sosial. Ini yang kami perjuangkan di KKM,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly merakamkan penghargaan kepada mana-mana pihak sama ada individu mahupun organisasi yang tampil memberikan sokongan moral dan kebajikan kepada bekas atlet negara seperti Saravanan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here