KUALA LUMPUR – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh perlu segera membuat laporan sekiranya benar beliau tidak ada kaitan dengan rakaman audio yang didakwa mirip suaranya yang tersebar di media sosial ketika ini.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, laporan polis itu penting supaya nama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkenaan dapat dibersihkan daripada fitnah pihak tidak bertanggungjawab.
Menurut beliau, ketika ini, terdapat pihak tidak bertanggungjawab cuba mencemar nama Ketua Menteri Melaka dengan menyebarkan video audio ini kepada awam melalui platform media sosial.

“Saya menggesa pihak Polis Diraja Malaysia serta pihak berkuasa SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) segera menyiasat kes ini dengan telus dan tuntas.
“Siasatan forensik wajib dibuat untuk memastikan kesahihan video itu dan mengenal pasti siapa suara individu tersebut. Semua yang terlibat harus diambil tindakan dan dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, tular video berdurasi tiga minit 57 saat di media sosial sehari selepas Ab Rauf membuat penafian beliau berkaitan penahanan bekas Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang direman SPRM ketika ini.
Dalam video itu, tertera kenyataan media individu dengan latar belakang tiga klip audio perbualan telefon antara dua individu yang salah satunya didakwa mirip suara Ab Rauf yang mana di penghujung klip video disebut individu bernama ‘Ali.’
Sementara itu, Mohd Yadzil yang juga ADUN Bemban berkata, penularan audio itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan berhubung penafian Ab Rauf dalam penahanan Mohamad Ali.
“Apakah benar kenyataan Ketua Menteri Melaka yang beliau tidak terlibat dalam penahanan ini seperti yang disampaikan? Satu perkara yang serius dan memalukan jika benar Ketua Menteri Melaka dikaitkan dengan aktiviti yang tidak bermaruah ini,” dakwanya. – MalaysiaGazette