KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya mempersoalkan reaksi keterlaluan termasuk siasatan jenayah dalam kes kesilapan Jalur Gemilang oleh akhbar Sin Chew Daily.
Sedangkan, beliau yang juga seorang peguam menyifatkan mana-mana individu yang waras boleh melihat kes itu hanyalah satu kesilapan yang tidak disengajakan.
Apatah lagi tiada sebab munasabah untuk sebuah akhbar utama seperti Sin Chew Daily mahu mensabotaj syarikat mereka sendiri dengan cara sedemikian.

“Dakwaan KDN (Kementerian Dalam Negeri) bahawa ia merupakan ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam adalah reaksi berlebihan dan satu bentuk amaran yang tidak perlu,” katanya menerusi catatan di laman sosial X.
Sementara itu, Latheefa turut melahirkan rasa terkejut apabila ramai ahli politik `menumpang’ isu tersebut dan menuntut hukuman maksimum termasuk penjara dan sebagainya sekali gus mempersoalkan kewarasan mereka.
“Adakah kita mahu mendakwa dan memenjarakan seseorang atas kesilapan yang tidak disengajakan? Itu bukan keadilan dan bukan cara yang betul,” katanya.
Sementara itu, menurut Latheefa, semangat patriotisme seseorang tidak seharusnya diukur semata-mata melalui simbol luaran seperti bendera.
Sebaliknya ia adalah sesuatu yang tersirat dan tertanam jauh di dalam hati.
“Pihak akhbar telah memohon maaf secara terbuka, membetulkan kesilapan mereka dan sedang mengambil tindakan sewajarnya di peringkat dalaman,” katanya.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini mengesahkan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.
Mereka yang sudah pun dibebaskan dengan jaminan polis ditahan bagi membantu siasatan susulan lebih 40 laporan diterima berhubung isu kesilapan Jalur Gemilang itu di seluruh negara.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. – MalaysiaGazette