JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas dan melanggar pembahagi jalan berdekatan lampu isyarat di Jalan Persiaran Kempas Utama di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 5.40 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha NVX ditunggang mangsa.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa iaitu lelaki tempatan berusia 23 tahun keluar dari kawasan lot kedai berhampiran lokasi kejadian.
“Motosikal mangsa kemudian hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan berdekatan lampu isyarat di jalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, akibat kemalangan tersebut penunggang motosikal tersebut mengalami kecederaan pada bahagian muka dan kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.
Balveer berkata, kes disiasat bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu dan berbahaya.- MalaysiaGazette