KUALA LUMPUR – Kementerian Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memandang serius isu penyiaran imej Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit yang telah disiarkan di muka hadapan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara itu bukan sahaja menyentuh sensitiviti rakyat bahkan mencabar nilai simbolik dan semangat patriotik yang telah sekian lama terpahat dalam jiwa rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama.
Beliau menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menegaskan bendera adalah lambang kedaulatan dan identiti sesebuah negara, justeru tidak boleh sama sekali dipersendakan atau diperlakukan secara cuai.
“Seruan Seri Paduka Baginda supaya setiap pihak khususnya media, lebih peka dan bertanggungjawab dalam memastikan ketepatan bahan siaran wajar dijadikan pedoman.
“Jalur Gemilang bukan sekadar kain bercorak tetapi lambang perjuangan, kemerdekaan dan maruah negara yang mesti dipertahankan Bersama,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menyeru agar semua pihak, termasuk institusi pendidikan, badan media dan organisasi masyarakat memperkukuh usaha mendidik rakyat mengenai makna dan nilai simbol negara selari dengan prinsip Malaysia MADANI yang mengangkat hikmah, hormat dan tanggungjawab bersama.- MalaysiaGazette