KUALA LUMPUR – Pasangan Panda gergasi, Fu Wa dan Feng Yi akan dihantar pulang ke Republik Rakyat China (RRC) pada Mei ini.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) berkata, ia membolehkan Malaysia menerima pasangan baharu untuk tempoh 10 tahun mulai tahun ini hingga 2035.
Jelas kementerian tersebut, sebagai persediaan, Fu Wa dan Feng Yi akan menjalani proses kuarantin mulai 18 April 2025 di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara.
Menurutnya, ia bagi memastikan kesihatan kedua-dua panda itu berada pada tahap terbaik, memenuhi keperluan permit di bawah perundangan antarabangsa serta latihan sangkar untuk membiasakan diri bagi penerbangan ke RRC.
“Sepanjang tempoh kuarantin, pengunjung tidak lagi boleh melihat Fu Wa dan Feng Yi secara dekat tetapi masih berpeluang untuk melihat mereka daripada pusat pembelajaran PKGP pada masa tertentu,” katanya kementerian itu menerusi kenyataan.
Tambahnya, Zoo Negara juga telah merancang pelbagai program sepanjang tempoh kuarantin bagi memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk meraikan Fu Wa dan Feng Yi yang telah berada di Malaysia sejak 21 Mei 2014.
NRES berkata, ia termasuk menyediakan Papan Ucapan Perpisahan, sesi bersama penjaga Panda Gergasi, tayangan dokumentari serta pertandingan menulis dan melukis.
Pengunjung boleh mendapatkan maklumat mengenai program-program tersebut melalui laman sesawang dan platform media sosial Zoo Negara.
“Zoo Negara akan menambah baik fasiliti dan eksibit di PKGP sepanjang tempoh ketiadaan Panda gergasi sebagai persediaan untuk menerima pasangan Giant Panda baharu yang dijadualkan pada bulan Ogos 2025,” katanya lagi.
Sebagai rekod, kerjasama Panda Gergasi merupakan simbol persahabatan erat antara Malaysia dan China dalam memupuk diplomasi konservasi.
Sehubungan itu, rakyat negara ini digalakkan untuk mengambil peluang mengunjungi Zoo Negara bagi sama-sama menunjukkan penghargaan kepada Fu Wa dan Feng Yi serta memeriahkan program-program yang dianjurkan oleh Zoo Negara.
Malaysia melalui NRES pada 16 April yang lalu meneruskan Projek Kerjasama Antarabangsa Konservasi Panda Gergasi dengan RRC melalui pemeteraian perjanjian baharu.
Ia bersempena Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia baru-baru ini. – MalaysiaGazette